Kerja Kosong

Friday, July 23, 2010

Tingkatkan kemahiran BI pelajar Melayu

SEIRING dengan kemajuan negara dalam dunia globalisasi serta cita-cita ke arah negara maju tahun 2020, Bahasa Inggeris (BI) menjadi sangat penting. Apa yang ingin diutarakan ialah ramai orang Melayu masih lemah dalam BI yang kini menjadi bahasa terpenting dalam banyak perkara selain antara bahasa rasmi di dunia.

Namun begitu, bukan bererti semua bangsa atau orang Melayu lemah dalam BI. Sistem pendidikan negara perlu diperbaiki daripada beberapa sudut untuk 'menguatkan' orang Melayu itu sendiri.

Dalam sistem pendidikan negara kita, pendidikan tahap awal sebenarnya adalah yang paling penting, merangkumi murid-murid berumur 6 hingga 12 tahun. Dalam umur beginilah murid-murid mudah menerima perkara baru, seperti pepatah Melayu mengatakan "Melentur buluh biarlah dari rebungnya". Jika mereka diajar dan dididik dengan sempurna akan menjadi pelajar yang berjaya di kemudian hari.

Dalam tahap umur 6- 12 tahun ini sepatutnya murid-murid sudah menguasai BI. Anak-anak Melayu sering bermasalah dalam BI berbanding kaum Cina dan India, menyebabkan mereka kurang menguasai bahasa berkenaan.

Faktor utama ialah orang Melayu kurang berminat dengan BI. Ini kerana BI bukan bahasa utama dalam keadaan persekitaran mereka. Murid Melayu sentiasa bercakap dan berkomunikasi melalui medium Bahasa Melayu walau pun dimana jua dan dalam keadaan apa sekalipun.

Juga terdapat jurang di dalam keluarga orang Melayu yang tidak begitu mahir dalam BI di luar bandar berbanding dengan di bandar. Hal ini berbeza dengan dua kaum lain yang utama iaitu seperti kaum India yang boleh dikatakan menjadikan BI menjadi bahasa kedua di rumah.

Guru Melayu yang mengajar BI juga kurang. Rata-rata di sekolah guru BI merupakan guru kaum India dan Cina. Persoalannya adakah hal ini menampakkan kelemahan orang Melayu terhadap BI itu sendiri?

Justeru guru Melayu perlu diperbanyakkan dalam pengajaran BI yang dimulakan dari murid memasuki pra-sekolah sehingga darjah 6. Jika guru Melayu mengajar BI kemungkinan orang Melayu lebih berminat terhadap bahasa kedua negara ini.

Namun perkara yang perlu diutamakan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah mendidik minat murid-murid terhadap BI. Biar mereka tidak berasa terbeban dengan BI dan juga boleh menggapnya seperti Bahasa Melayu. Apa yang kita semua harapkan ialah apabila mereka tamat darjah 6 dan memasuki sekolah menengah, mereka sudah mampu menguasai BI dengan baik.

Satu perkara yang amat penting pada zaman ini ialah menanam dalam minda orang Melayu bahawa BI telah menjadi satu bahasa yang amat penting dalam dunia moden ini. BI pada masa ini sering sahaja digunakan dan di dalam sektor perkerjaan.

Semakin hari dunia semakin mencabar dan orang Melayu perlu menguasai semua bidang yang kebanyakkannya ditunjangi oleh BI untuk sentiasa menjadi rakyat yang maju.

MOHD. YAKOP BIN IKRAM

Universiti Malaya, Kuala Lumpur

(Ruangan Forum di Utusan , 23 Julai 2010)

Contohi Korea Selatan dan Jepun Dalam Sukan Bola Sepak

PUJIAN menggunung perlu diberikan kepada dua negara Asia iaitu Korea Selatan dan Jepun dalam pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan apabila kedua-duanya melayakkan diri hingga ke pusingan kedua.

Kehebatan Korea Selatan dan Jepun ini berakhir di pusingan kedua dengan tumpas kepada benua Amerika Selatan iaitu Uruguay dan Paraguay.

Namun begitu, bukan itulah yang mahu disebut mengenai kekalahan negara Asia ini. Apa yang hendak dikatakan mengenai kekuatan, kehebatan, semangat juang yang tinggi kedua-dua negara Asia ini perlulah dicontohi oleh negara Malaysia.

Banyak perubahan yang telah berlaku dalam arena bola sepak bagi kedua-dua negara ini yang mana pemain-pemain mereka ini mempunyai kemahiran atau skil, kepantasan dan juga berpengalaman.

Hal ini dapat dilihat contohnya seperti ketua pasukan Korea Selatan iaitu Park Ji Sung yang bermain di kelab Eropah dengan mewakili pasukan Manchester United.

Ji Sung begitu hebat dengan skil dan rajin di atas padang. Juga dapat dilihat semakin hari semakin ramai pemain Asia telah keluar dan bermain dengan mewakili kelab-kelab di Eropah. Nama lain pemain Asia yang bermain di kelab Eropah antaranya seperti pemain Jepun, Keisuke Honda (CSKA Moscow), Shunsuke Nakamura (Celtic dan Sepanyol). Pemain Korea seperti Lee Chung-Yong (Bolton Wanderers), Lee Young-Pyo (PSV, Tottenham Hotspur dan Borussia Dortmund).

Mereka ini dipilih dan dapat bermain di pentas besar atas tiket kehebatan pada individu tersebut.

Kehebatan pemain Asia ini dapat dilihat dengan semangat yang tidak putus asa dan rajin. Hal yang penting juga dalam menilai keupayaan negara Asia terutama Korea Selatan dan Jepun ini mereka bermain secara semangat satu pasukan dan bijak mengatur strategi masing-masing bagi memperoleh kemenangan.

Kemenangan Korea Selatan ke atas bekas Juara Eropah 2004 Greece 2-0 semasa perlawanan pertama amat hebat dan menarik sekali dan juga Jepun yang berjaya menundukkan Denmark 3-1.

Persoalannya mampukah skuad negara kita menandingi keupayaan negara Korea Selatan yang dilihat begitu kuat pada masa ini. Nama negara Korea Selatan telah berjaya menempa nama besar dalam Piala Dunia 2002 dengan layak sehingga separuh akhir dan ini telah mengharumkan Benua Asia dalam sukan bola sepak.

Negara kita perlu mengambil semangat dan kekuatan seperti Korea Selatan dan Jepun dalam memajukan bola sepak. Malaysia perlu belajar daripada mereka bagaimana mereka begitu maju kehadapan dalam permainan bola sepak yang mana boleh dikatakan menandingi pasukan bola sepak di seluruh dunia.

Mohd Yakop Ikram

Universiti Malaya, KL.

(Forum di Utusan-2.7.2010)

Skuad Kebangsaan Jepun

Keisuke Honda (CSKA Moscow)


Skuad Kebangsaan Korea Selatan


Park Ji Sung (Manchester United)

Spain Win The World Cup 2010-South Africa