Kehebatan Korea Selatan dan Jepun ini berakhir di pusingan kedua dengan tumpas kepada benua Amerika Selatan iaitu Uruguay dan Paraguay.
Namun begitu, bukan itulah yang mahu disebut mengenai kekalahan negara Asia ini. Apa yang hendak dikatakan mengenai kekuatan, kehebatan, semangat juang yang tinggi kedua-dua negara Asia ini perlulah dicontohi oleh negara Malaysia.
Banyak perubahan yang telah berlaku dalam arena bola sepak bagi kedua-dua negara ini yang mana pemain-pemain mereka ini mempunyai kemahiran atau skil, kepantasan dan juga berpengalaman.
Hal ini dapat dilihat contohnya seperti ketua pasukan Korea Selatan iaitu Park Ji Sung yang bermain di kelab Eropah dengan mewakili pasukan Manchester United.
Ji Sung begitu hebat dengan skil dan rajin di atas padang. Juga dapat dilihat semakin hari semakin ramai pemain Asia telah keluar dan bermain dengan mewakili kelab-kelab di Eropah. Nama lain pemain Asia yang bermain di kelab Eropah antaranya seperti pemain Jepun, Keisuke Honda (CSKA Moscow), Shunsuke Nakamura (Celtic dan Sepanyol). Pemain Korea seperti Lee Chung-Yong (Bolton Wanderers), Lee Young-Pyo (PSV, Tottenham Hotspur dan Borussia Dortmund).
Mereka ini dipilih dan dapat bermain di pentas besar atas tiket kehebatan pada individu tersebut.
Kehebatan pemain Asia ini dapat dilihat dengan semangat yang tidak putus asa dan rajin. Hal yang penting juga dalam menilai keupayaan negara Asia terutama Korea Selatan dan Jepun ini mereka bermain secara semangat satu pasukan dan bijak mengatur strategi masing-masing bagi memperoleh kemenangan.
Kemenangan Korea Selatan ke atas bekas Juara Eropah 2004 Greece 2-0 semasa perlawanan pertama amat hebat dan menarik sekali dan juga Jepun yang berjaya menundukkan Denmark 3-1.
Persoalannya mampukah skuad negara kita menandingi keupayaan negara Korea Selatan yang dilihat begitu kuat pada masa ini. Nama negara Korea Selatan telah berjaya menempa nama besar dalam Piala Dunia 2002 dengan layak sehingga separuh akhir dan ini telah mengharumkan Benua Asia dalam sukan bola sepak.
Negara kita perlu mengambil semangat dan kekuatan seperti Korea Selatan dan Jepun dalam memajukan bola sepak. Malaysia perlu belajar daripada mereka bagaimana mereka begitu maju kehadapan dalam permainan bola sepak yang mana boleh dikatakan menandingi pasukan bola sepak di seluruh dunia.
Mohd Yakop Ikram
Universiti Malaya, KL.
(Forum di Utusan-2.7.2010)
No comments:
Post a Comment