Kerja Kosong

Tuesday, November 1, 2011

SEJARAH TIDAK PERLU DITULIS SEMULA namun.....

PENDAPAT SAYA

SEJARAH sememangnya penting dalam kehidupan manusia. Sejarah itu merupakan ibu kepada semua ilmu, memetik kata ungkapan ketika penulis di dalam satu kelas bersama pakar sejarah iaitu Prof Koo Kay Kim di Universiti Malaya. Itulah melambangkan betapa besarnya ilmu sejarah itu. Semua bidang ilmu mempunyai sejarahnya tersendiri.

Subjek sejarah akan diwajibkan lulus dalam peperiksaan SPM pada tahun 2013. Saya menyambut baik usaha kerajaan dalam mewajibkan lulus subjek sejarah ini dan ini semakin memperlihatkan sejarah itu semakin amat penting bukan untuk masa lalu sahaja malah pada masa kini dan juga masa hadapan.

Tidak berhenti di sekolah rendah sahaja, sejarah perlu diteruskan dan diwajibkan di peringkat universiti. Inilah titah Sultan Kedah ,Sultan Abdul Halim yang menyatakan bahawa perlu mewajibkan subjek sejarah di semua institusi pengajian tinggi. Baginda telah mengatakan sejarah perlu dipelajari serta diambil iktibar terutama oleh generasi baru agar golongan itu lebih menghargai erti merdeka, kedaulatan bangsa dan negara dengan lebih bijaksana. Selain itu baginda menyatakan sejarah negara bangsa perlu diketahui, difahami dan diserap oleh seluruh lapisan masyarakat, bukan sahaja sekadar mempelajarinya malah apa yang telah berlaku perlu dijadikan pedoman.

Dalam pada itu saya tertarik baru-baru ini juga mengenai perbahasan persoalan wajarkah sejarah perlu ditulis semula. Sejarah yang dimaksudkan yang menjadi tumpuan ialah Sejarah Malaysia.

Dalam melihat kepada penulisan sejarah Malaysia ia dikatakan bermula lebih kurang pada abad yang ke-15. Penulisan sejarah Malaysia bagi tempoh abad ke-16 hingga Perang Dunia Kedua dapat dilihat penulisan sejarah lebih banyak dipelopori oleh orang Barat daripada orang tempatan.

Kedatangan orang Barat sepanjang tempoh abad ke-16 hingga abad ke 20 di negara Malaysia ini telah memberi ruang kepada penulisan sejarah di Malaysia. Penambahan karya sejarah telah bertambah dengan penulisan-penulisan bangsa asing yang digunakan terutamanya Inggeris yang dilihat sebagai bangsa asing yang terakhir menjajah Malaysia. Kehadiran karya-karya dalam penulisan sejarah oleh tokoh dan sejarawan Barat telah melihat penulisan yang dilakukan bertentangan dengan keadaan sebenar masyarakat setempat dan sejarah yang ditulis lebih cenderung kepada kaca mata Barat.

Penubuhan Jabatan Sejarah Universiti Malaya di Singapura pada tahun 1949 dan kemudian di Kuala Lumpur pada tahun 1959 menjadi dimensi baru dalam hasilan penulisan sejarah dari kaca mata anak tempatan sendiri dan disinilah wujudnya ‘Malaysian Centric’. Mulai masa ini lebih ramai orang tempatan menceburkan diri dalam penulisan sejarah Malaysia yang berbentuk ilmiah yang dahulunya hampir menjadi monopoli orang Barat. Penuntut sejarah pada masa ini digalakkan mengkaji dan menulis berbagai aspek sejarah Malaysia. (Sejarah mengenai penulisan sejarah di Malaysia).

Namun jika dikatakan sejarah di Malaysia pada masa ini ianya telah pun ditulis oleh sejarawan dan pakar-pakar sejarah di Malaysia. Penulisan sejarah sememangnya amat penting dan menjadi tugas ahli sejarah untuk menulis sebanyak mungkin perkara yang berhampiran dengan kebenaran. Apabila menulis sejarah membuatkan terhasilnya tafisran dari pengkaji dan penulis sejarah mengenai sesuatu fakta sejarah itu dan mungkin akan memberi tafsiran yang berbeza.

Pengkaji, penganalisis dan penulis sejarah paling penting ialah berlaku adil terhadap fakta dan zaman peristiwa itu. Kita tidak boleh menghukum perkara atau peristiwa yang lalu dengan mentafsir mengikut pada masa ini. Saya percaya pengkaji sejarah amat memahami faktor zaman dan cabaran lingkungan.

Menjawab antara salah satu persoalan daripadanya iaitu sejarah bukanlah semata-mata ditulis oleh orang yang menang tetapi ia sebenarnya ditulis ruang lingkup kepada sumbangan yang sebenar dan kepentingannya dalam sesuatu perkara. Misalnya antara dua tokoh daripada golongan kanan dan kiri iaitu dan Dato Onn Jaafar dan Ibrahim Haji Yaccob. Kedua-dua berjuang menuntut kemerdekaan, dilihat Dato Onn lebih banyak menonjol dari segi kepentingan dan sumbangan beliau dan dari itulah kisah beliau lebih banyak ditulis, namun penulis sejarah tidak pernah menafikan pejuangan mereka. Penulis dan pengkaji sejarah diyakini akan menulis sejarah tanpa berat sebelah atau bias dalam penulisan mereka. Namun begitu jika dilihat pada masa ini kisah mengenai tokoh yang berhaluan kanan mahupun kiri semakin banyak ditulis di negara ini.

Pada pandangan saya, pertama sejarah tidak perlulah ditulis semula secara kesuluruhannya tetapi mungkin perlu penambah isi atau input yang lebih luas. Lebih penting lagi ialah penerangan yang lebih banyak usaha bagaimana Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 1957. Contohnya buku teks di sekolah tidak menerangkan begitu meluas mengenai kemerdekaan negara. Semasa di universiti juga terdapat pensyarah mengatakan mengenai perkara ini dan ini juga pernah dikatakan oleh Tun Mahathir bahawa cerita mengenai peranan Tunku Abdul Rahman yang memperjuangkan kemerdekaan negara tidak banyak disebut dalam silibus subjek sejarah.

Hal atau perkara seperti ini yang melibatkan kemerdekaan antara yang paling penting kepada negara kita bagi melahirkan semangat nasionalis yang tinggi kepada negara. Susah payah mereka mendapatkan kemerdekaan perlu dihayati dan perlu dipertahankan bersama semua masyarakat negara ini.

*mungkin penambahbaikan isi kandungan yang dititikberatkan dan juga sejarah yang lebih holistik kepada sejarah semua kaum di negara ini bagi menambah baikkan pemahaman mengenai sejarah bangsa negara ini*

Kedua ialah penulisan sejarah negara ini masih dalam keadaan tersusun dan terbaik, namun perlu diubah ialah mengenai sukatan pelajaran subjek sejarah di peringkat sekolah yang mana perlu dikaji semula kerana terdapat beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta sejarah itu sendiri. Contoh disini ialah penemuan bukti penubuhan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada tahun 1262 dan bukannya pada tahun 1400 yang menjadi sumber rujukan selama ini.

Ketiga ialah dalam penulisan sejarah itu perlu menumpukan apa sebenarnya berlaku supaya tulisan tentang sejarah negara tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik semasa. Sejarah bukan untuk memenuhi kehendak dunia politik antara dua kuasa iaitu kerajaan dan pembangkang. Hal ini boleh dilihat seperti isu Bukit Kepong yang memberi kenyataan komunis sebagai hero atau pejuang negara.

Ini ada percubaan untuk mengubah sejarah daripada fakta sebenar daripada golongan politik. Persoalannya adakah mereka ini sengaja mengejar dunia populariti atau ingin mengalih isu dunia politik mereka semata-mata. Pihak yang tidak bertanggungjawab seperti ini memberi kesan negatif kepada pelajar-pelajar sekolah yang mana mereka sedang belajar teks sejarah yang menyatakan komunis itu musuh negara akan keliru. Apa yang sebenarnya berlaku tidak perlulah diubah. Saya rasa biarlah pakar-pakar sejarah sahaja mentafsir sejarah dan bukan orang politik untuk mengeluarkan fakta sejarah itu sendiri.

Adalah yang lebih penting pada masa ini tidak ada pihak memutar belit fakta sejarah bagi mengelak kekeliruan terhadap masyarakat. Apa yang sudah berlaku kita tidak boleh ubah sejarah itu kecuali terdapat bukti penemuan baru yang sahih dan sah barulah fakta atau sejarah itu boleh berubah. Percubaan untuk mengubah sejarah daripada fakta yang sebenar harus ditegah dan perlu diambil tindakan terhadap individu atau kelompok tersebut.

* satu jawatankuasa telah pun ditubuhkan untuk mengkaji dan meneliti kurikulum Sejarah. saya pasti penambaikkan dalam kurikulum sejarah akan bertambah baik*


Jawatankuasa khas kaji kurikulum Sejarah ditubuh


2011/05/04

MUHYIDDIN mengadakan perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah di Putrajaya, semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud (kiri) dan Omar (kanan).

MUHYIDDIN mengadakan perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah di Putrajaya, semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud (kiri) dan Omar (kanan).

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menemui 10 anggota Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah, yang dilantik berkuat kuasa semalam bagi memastikan kandungannya dapat memupuk semangat menjiwai 1Malaysia di kalangan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, dalam kenyataan semalam, berkata jawatankuasa khas itu dipengerusikan oleh Datuk Omar Mohd Hashim yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, manakala timbalannya ialah Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datin Paduka Prof Dr Ramlah Adam.

"Penubuhannya selaras dengan dasar kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013. Justeru, kita mahu mengkaji semula kandungan kurikulum dan buku teks Sejarah sekolah menengah.
"Matlamatnya, kurikulum Sejarah yang mahu diperkenalkan ini harus mampu melahirkan pelajar yang mempunyai perasaan cinta tanah air, sekali gus memperkukuh semangat setia negara dan jati diri sebagai warga Malaysia," katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Ahli lain ialah Pakar Sejarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim; Pakar Prasejarah Akademi Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman; Pensyarah Jabatan Sejarah UM, Prof Dr Danny Wong Tze Ken dan Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ranjit Singh Darshan Singh.

Anggota lain termasuk Ketua Jabatan Sejarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Ismail Ali; Penolong Prof Dr Shamrahayu Abdul Aziz dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Neilson Ilan Mersat dan wakil Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, Dr Benedict Topin.

Perjumpaan pertama jawatankuasa khas itu berlangsung di Kementerian Pelajaran, semalam dan akan mengadakan perbincangan selama setahun untuk menyumbang pendapat atau memberi cadangan dalam empat aspek utama bagi menjadikan mata pelajaran Sejarah wajib lulus dalam peperiksaan SPM mulai 2013.

Ia termasuk mengkaji kesesuaian kandungan kurikulum subjek Sejarah dan buku teks Sejarah sedia ada dengan hasil pembelajaran Sejarah yang menekankan penghayatan dan pengalaman perpaduan serta patriotisme selain mengkaji ketepatan fakta.

* HARAP selepas ini buku teks sejarah di sekolah lebih lengkap dan menarik lagi2 subjek sejarah akan wajib lulus pada tahun 2013.


No comments:

Post a Comment