Kerja Kosong

Saturday, September 25, 2010

Melayu Hilang Kuasa

Renung2kanlah....

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.

“Kita lihat (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.

“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.

Beliau yang juga bekas Presiden UMNO berkata demikian dalam wawancara khas dipetik daripada laman web www.umno-online.com yang disiarkan hari ini.

Dr. Mahathir menambah, walaupun Nizar yang mewakili Pas ketika memerintah Perak seolah-olah memperjuangkan Islam, parti itu sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.

Sementara itu menurutnya, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.

“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya Perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi Perdana Menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa.” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengkritik hala tuju parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dilihat tidak ikhlas memperjuangkan kemahuan rakyat selain hanya mahu merampas tampuk pemerintahan daripada BN.

Sebagai contoh, katanya, PKR wujud bukan kerana mahu menuntut keadilan buat rakyat di negara ini tetapi sebagai platform merealisasikan cita-cita seorang pemimpinnya yang berhasrat menjadi Perdana Menteri.

“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapat, apa kau dapat, lebih kepada peribadi. Itulah terbentuknya keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh PKR seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” jelasnya.

dipetik dari Utusan Melayu, oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR


Tidak mustahil sejarah penentangan Malayan Union berulang

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Seorang pemerhati politik tidak menolak kemungkinan akan berlaku penentangan fizikal besar-besaran orang Melayu terhadap kerajaan, sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negara dan mencabuli keluhuran Perlembagaan.

Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berkata, kenyataan itu tidak berasaskan kepada andaian tetapi bersandarkan kepada situasi semasa yang menyaksikan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bangkit mempertahankan hak mereka.

Menurut beliau, perkembangan itu berlaku dengan begitu drastik pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-12, melebihi 'suasana panas' semasa Melayu bangkit menentang Malayan Union pada 1946.

"Sekiranya selain BN yang memerintah negara, kerajaan baru diyakini akan mengetepikan segala peruntukan Perlembagaan yang menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera, sekali gus memenuhi tuntutan kaum lain."Apabila ia berlaku, nasi bukan lagi menjadi bubur tetapi sebaliknya dengan periuk-periuknya sekali musnah. Menangis keluar air mata darah sekalipun tidak berguna apabila Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengikut telunjuk DAP.

"Sejarah telah membuktikan bahawa DAP merupakan pewaris Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas ingatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan 'suara' jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.

Sementara itu, seorang lagi pemerhati politik tempatan, Che Hamdan Che Mohd. Razali bersetuju dengan ingatan Dr. Mahathir itu tetapi tidak meletakkan sepenuhnya punca permasalahan itu terhadap parti pembangkang.

Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara ( UiTM ), Kampus Dungun, Terengganu berkata, UMNO yang masih menjadi parti tunggak dalam BN perlu menilai kembali ideologi yang dibawa dalam perjuangan mereka.

Ini kerana, tegas beliau, sering kali dilihat banyak usaha murni yang dilakukan oleh pemimpin atasan khususnya Perdana Menteri, tidak dihayati sepenuhnya oleh pemimpin bawahan hingga menyebabkan permasalahan ahlinya di peringkat akar umbi tidak terbela.

"Apa yang perlu difikirkan sekarang, kenapa ia boleh dan mungkin berlaku? Saya melihat daripada perjuangan parti politik pembangkang yang sering mencanangkan oleh mereka sebagai politik baru.

"Pembawaan mereka yang dikatakan memperjuangkan isu-isu berbentuk nilai universal seperti hak asasi manusia, kesamarataan dan keadilan sosial, mudah mempengaruhi pengikut-pengikut mereka dan golongan muda yang dikatakan sealiran dengan arus globalisasi dan demokrasi," katanya.

Che Hamdan berkata, sebenarnya orang Melayu mempunyai kelebihan dalam perjuangan politik sekiranya mereka memperjuangkan nilai perjuangan politik Islam yang lebih universal dan fleksibel, ia lebih baik jika dibandingkan dengan perjuangan pembangkang khususnya PKR dan DAP.

"UMNO perlu menunjukkan kepada umum bahawa agama Islam bukan eksklusif untuk Melayu sahaja tetapi ia melangkaui kaum dan budaya."Kuasa dan kedudukan orang Melayu di Malaysia akan kekal dan lebih berdaulat sekiranya Islam dimartabatkan bagi membela kaum dan kumpulan masyarakat yang lemah dan terpinggir," tegas beliau.



Friday, September 24, 2010

PERLEMBAGAAN DAN SATU MALAYSIA

Dua artikel di Utusan iaitu mengulas mengenai Perlembagaan Sudah Lengkap dan Pelengkap Wawasan 2020 telah menarik perhatian saya. Saya cuba menggabungkan 2 artikel ini dan beberapa buku untuk rujukan untuk saya post di blog ini. Juga sedikit pendapat dan tafsiran saya sendiri di dalam kedua-dua artikel rencana ini.

ARTIKEL PERTAMA

Jika kita amati sejak akhir-akhir ini dilihat semakin ramai pihak cuba menyoal pelbagai isu yang tidak sepatutnya timbul. Antaranya seperti menyoal mengenai perlembagaan negara Malaysia. Apakah menyebabkan mereka berbuat demikian ? Adakah mereka ini sengaja dalam mencari jalan untuk kepentingan tertentu ?

Perlembagaan Sudah Lengkap-oleh Rohani Ibrahim di dalam Utusan Malaysia 23/9/2010

SEORANG pemimpin veteran negara jiran baru-baru ini mendakwa Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak adil serta menyisihkan kaum lain.Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dalam satu temu bual dengan akhbar New York Times pada 1 September lalu turut mengkritik sistem yang diamalkan di negara ini. Sambil membayangkan Malaysia mungkin menjadi lebih baik jika tidak berpisah dengan Singapura, Kuan Yew turut mendakwa kononnya republik itu pada hari ini sudah mencapai tahap yang membanggakan dalam hubungan antara kaum.Kenyataan Kuan Yew yang menyentuh hubungan antara kaum di negara ini umpama mempertikai hak dan keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain pemimpin asing, di dalam negara juga terdapat pihak yang membangkitkan soal hak dan kedudukan orang Melayu.Ahli Parlimen Pembangkang, Nurul Izzah Anwar dilaporkan mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan keistimewaan orang Melayu.

(PENULIS SENDIRI)Perlukah orang Melayu sendiri menyoal hak keistimewaan orang Melayu? Adakah anda semua tidak berasa pelik tindakan beliau ini? Seperti juga Menteri Besar Kelantan yang mengatakan tidak bangga menjadi orang Melayu. Adakah semua ini anda boleh memikirkan sebab dan musabab semua perkara ini berlaku dan impaknya terhadap orang Melayu sendiri atas perkara yang dibuat oleh pemimpin2 seperti ini?

(KONSEP MELAYU)Terdapat beberapa konsep Melayu, antaranya seperti di dalam buku Abdul Rahman Embong, Negara-bangsa, Proses dan Perbahasan, edisi kedua, ms 51-52. Konsep Melayu yang dirumuskan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu dalam Fasal 160 dan Fasal 89(6) mengenai Tanah Simpanan Melayu (Perlembagaan Persekutuan 1989) . Konsep ini berasal daripada definisi yang dilakukan oleh pihak berkuasa Inggeris untuk keperluan pentadbiran, khususnya dengan tujuan membentuk Enakmen Tanah Simpanan Melayu pada awal abad ke-20. Pentakrifan Melayu seperti ini muncul sebagai reaksi kepada kebanjiran orang Cina dan India ke Tanah Melayu hasil daripada dasar penjajah Inggeris membawa masuk buruh asing bekerja di lombong dan lading di Tanah Melayu. Takrifkan ini kemudian terus digunakan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 1957 dan juga apabila Persekutuan Malaysia terbentuk pada 1963. Mengikut konsep ini, Melayu bermaksud mereka yang berbahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu (Perlembagaan Persekutuan 1989 Fasal 160).

Renung-renungkanlah….

Sementara Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini pernah mendedahkan tentang usaha mewujudkan 'perlembagaan baru' oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan.Beliau yang mempunyai bukti mengenainya mendakwa, perlembagaan baru itu menyisihkan hak orang Melayu dan agama Islam yang dijamin dalam Perlembagaan yang sedia ada.

Pakar sains politik, Dr. Chandra Muzaffar ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya minggu lalu menyifatkan Perlembagaan Negara bertujuan mengatasi masalah ketidaksamarataan antara pelbagai kaum.

Menurut Chandra,salah satu fakta sejarah yang sering dilupakan ialah hak kerakyatan untuk masyarakat bukan Melayu di negara ini yang diberikan oleh raja-raja Melayu dan golongan elit UMNO.

** ''Bukan pihak British yang memberikan kerakyatan kepada kaum bukan Melayu tetapi orang Melayu. Sementara Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan pula menjelaskan bahawa semua warganegara mempunyai hak yang sama rata di sisi undang-undang. 'Jika anda fahami dengan betul, motif Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah mengelakkan situasi tidak sama rata. Kedudukan istimewa orang Melayu (seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan) mempunyai kaitan dengan kesamarataan. "Ini kerana, ketika negara mencapai kemerdekaan, begitu ramai masyarakat Melayu hidup dalam kemiskinan," jelas Chandra.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai penglibatan beliau sebagai salah seorang ahli panel dalam persidangan The Gathering of Great Minds yang akan diadakan pada 24 September ini.

Tambah Chandra, keadaan tidak sama rata timbul apabila pemimpin Melayu membuka pintu dengan memberikan kerakyatan segera kepada masyarakat bukan Melayu ketika negara mencapai kemerdekaan.

''Sekelip mata saja golongan bukan Melayu diberikan kerakyatan. Ini merubah peta demografi. Jadi, masyarakat Melayu sebagai tuan rumah yang membuka pintu kerakyatan negara kepada kaum bukan Melayu mahu memelihara kedudukan dan kepentingan mereka terutamanya dari segi pendidikan, pekerjaan dan pemilikan harta.

''Ini bagi memastikan orang Melayu tidak kehilangan atau kerugian apabila bersikap pemurah dengan pemberian kerakyatan berkenaan. Terma warganegara yang diberikan di Malaysia juga agak luar biasa," jelas beliau yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just).

Dalam memahami realiti ini, menurut Chandra, perlu ada proses penerimaan oleh masyarakat dan pemimpin Melayu sebagai pihak yang membuka pintu kerakyatan dan proses menyesuaikan diri oleh pihak yang diberikan kerakyatan. ''Di negara lain seperti Perancis, Jerman atau Kanada, syarat dikenakan untuk menjadi warganegara.

Namun di Malaysia, syarat-syarat sedemikian diketepikan. Oleh itu, kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan bertujuan memastikan orang Melayu sebagai golongan yang memberikan kerakyatan kekal sama rata dengan golongan lain. ''Beberapa aspek hak dan kedudukan istimewa tersebut perlulah dikaji semula dari semasa ke semasa mengikut perubahan masa. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengubah kuota etnik bagi pengambilan pelajar universiti dan hanya mengekalkannya untuk fakulti tertentu sahaja," katanya. Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Chandra, membuat satu lagi perubahan dengan mengumumkan dasar liberalisasi dalam 27 sub-sektor perkhidmatan dan sektor kewangan.

''Jadi, Perkara 153 bukanlah satu klausa yang bertujuan memberikan kelebihan kepada satu komuniti atau menjadikan mana-mana kaum lebih dominan. "Perlembagaan negara lain yang agak mirip kepada Perlembagaan Persekutuan ialah Perlembagaan India yang memberikan hak yang sama rata kepada semua warganegara. ''Perlembagaan tersebut bagaimanapun memberikan peruntukan khas kepada kasta-kasta yang disenaraikan," jelasnya.

Chandra menambah, Perlembagaan Persekutuan merupakan satu perlembagaan yang lengkap dan menyeluruh kerana ia mengutamakan keseimbangan.

''Ia merujuk kepada Bahasa Kebangsaan dan lain-lain bahasa, agama rasmi dan agama-agama lain serta kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan kaum lain.

"Pada pandangan saya, perlu dipastikan kita tidak lari daripada kerangka Perlembagaan tersebut dalam memelihara keseimbangan antara kaum. ''Jika kita mengetepikan Perlembagaan ini dan cuba mencari panduan lain, saya rasa kita bakal berhadapan dengan masalah besar. Satu-satunya, panduan yang perlu dijadikan rujukan ialah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

ARTIKEL KEDUA

Tajuk artikel di bawah ini mengenai 1 Malaysia yang dikatakan sebagai pelengkap kepada Wawasan 2020. Mungkin kita pada hari ini masih kurang jelas mengenai 1 Malaysia dan ini mungkin jawapannya pada persoalan-persoalan di minda kita semua.

Pelengkap Wawasan 2020-Prof Madya Dr.Sivamurugan Pandian (UKM) 21/9/2010 Utusan Melayu

Konsep 1Malaysia merupakan antara gagasan induk pemikiran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diperkenalkan ketika beliau mengambilalih teraju kepimpinan negara. Sejak mukadimahnya, konsep itu diberikan nilai pengukuhan yang dominan terutama dari sifatnya yang dikatakan sebagai satu kesinambungan daripada konsep, gagasan, manifestasi mahupun agenda kepimpinan yang lalu.

Bermakna, sejak merdeka sehingga detik 1 Malaysia, ia mencerminkan satu pendekatan yang mempunyai matlamat yang sama berpaksikan kepada usaha berterusan kesemua kepimpinan untuk memastikan rakyat hidup sejahtera dan secara berterusan cuba memperbaiki kualiti kehidupan agar masyarakat dapat menikmati limpahan kekayaan sumber bersama tanpa ada gugatan ke atas kemajmukan anggota masyarakat.

Kepelbagaian disimpul sebagai satu kekuatan dan keunikan yang menjadi perisai kemakmuran untuk dirai dan dijunjung ketertinggiannya. Zaman Tunku Abdul Rahman telah membina nilai kemasyarakatan bersama sebaik merdeka, zaman Tun Abdul Razak pula merapatkan jurang masyarakat bandar dan luar bandar manakala Tun Hussein Onn mempertahankan keharmonian dalam kepelbagaian apabila kumpulan ekstremis muncul.

Bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad, modenisasi adalah asas untuk membina bangsa yang bergerak ke hadapan dan Tun Abdullah Ahmad Badawi merencanakan pembinaan modal insan yang ada kekuatan diri.

Najib mengadun kesemuanya dalam konsep 1Malaysia untuk memastikan politik muafakat kekal sebagaimana peninggalan pejuang kemerdekaan dan perekacipta negara bangsa hari ini sekali gus mengisi kestabilan dengan membina keadilan untuk semua agar kesepaduan dan hidup berukun kekal dalam proses membina bangsa yang maju tanpa melunturkan nilai ketimuran.

Islam dengan amalan addin terus dipraktis bagi memastikan kesederhanaan mampu melahirkan bangsa Malaysia yang memiliki ilmu, kemahiran dan kebolehan dengan dilitupi oleh keperibadian mulia.

Keunikan 1Malaysia adalah ia mahu membina rasa tanggungjawab warga Malaysia terhadap tanah air dengan memberi kekuatan ke atas hak masing-masing sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan.

Ia membina pertahanan menyeluruh agar mana-mana individu dari apa juga latar belakang kumpulan agama, etnik, kepercayaan dan gender serta fahaman politik akan mengutamakan nilai sekuriti kemanusiaan dan bukan kepentingan ideologi agar kestabilan tidak tergugat oleh kesempitan politik yang dipenuhi dengan manipulasi, spekulasi, provokasi dan emosi hari ini.

1Malaysia adalah kebergantungan negara yang berdaulat dan pengisian bukan sahaja memakmurkan negara tetapi melahirkan kepercayaan dan keyakinan ke atas nilai 'kepunyaan' agar jati diri berpusatkan kepada nasionalisme dan patriotisme. 1Malaysia tidak berhasrat untuk meruntuhkan iman kepercayaan seseorang tetapi menjadi landasan untuk terus mempertahankan apa sahaja yang diwarisi tanpa perlu merobek pemilikan orang lain.

Ia bukan asimilasi tetapi merupakan integrasi agar masing-masing dapat menggunakan dokumen Perlembagaan sebagai teras identiti mereka dan pada waktu yang sama bertanggungjawab bukan untuk meningkatkan sifat prejudis, wasangka dan kecurigaan tetapi yakin bahawa ada rasa 'bersama', meraikan kepelbagaian menerusi amalan dan kehidupan harian serta bukan sekadar bersifat retorik semata-mata.

Nilai besar dalam memahami budaya masyarakat penting dan diberi keutamaan supaya keharmonian dapat terus terpelihara, asas pembentukan negara bangsa ini.

Perasaan hormat, memahami, menerima, tasamuh, ukhwah dan qudwah perlu jika mahu terus hidup berukun tanpa menyoal apa yang dipersetujui oleh pemimpin kemerdekaan dahulu. Pemimpin-pemimpin ini merupakan wira bangsa yang menyedari pengisian kemerdekaan perlu beralaskan kepada nilai kepercayaan.

Ini menunjukkan bahawa nilai yang dipersetujui dalam Kontrak Sosial diperkukuhkan perinciannya, peninggalan pejuang kemerdekaan 53 tahun lalu. Masing-masing masih boleh praktis amalan kepercayaan dan bahasa masing-masing dan pada waktu yang sama memastikan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi tidak dipersoal di bawah Perkara 3 sebagaimana bahasa rasmi adalah Bahasa Melayu di bawah Perkara 152. Begitu juga dengan kedudukan istimewa Bumiputera di bawah Perkara 153. Kekebalan masyarakat masih di bawah kedaulatan dan panjí institusi raja-raja Melayu di bawah Perkara 181 yang keluhurannya perlu dipertahankan oleh setiap individu.

(PENULIS SENDIRI)***Apa itu Kontrak Sosial ?- Kontrak Sosial bermula dengan pendirian bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya. Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat. (ini saya petik dari buku Pengantar Sains Politik, Syed Ahmad Hussein ms 189.

Kesemua ini menjadi intipati 'perkongsian'. Yang menimbulkan kekeliruan bahawa 1 Malaysia akan merobohkan apa yang sudah terbina selama ini merupakan golongan yang tidak mahu melihat kepimpinan Najib merealisasikan Wawasan 2020 kerana 1Malaysia adalah pelengkap wawasan yang diberikan pengiktirafan dengan menggunakan 1Malaysia sebagai alat memacu kecemerlangan yang akhirnya ketika fajar 2020 menyingsing, lahir satu bangsa Malaysia yang bangga menjadi rakyat negara ini, menjunjung Perlembagaan dan fasih bahasa Melayu.

(PENULIS SENDIRI) Satu perkara yang saya mahu ketengahkan mengenai Bahasa Melayu. Saya cuba melihat mengapa orang bukan Melayu tidak fasih dalam Bahasa Melayu walaupun sudah 53 tahun negara kita merdeka. Siapakah mereka? Bahkan sudah menjadi pemimpin pun ada yang masih fasih berbahasa Melayu. Kenapa kita menyanjung tinggi bahasa luar seperti Bahasa Inggeris ? dan dimana tempatnya Bahasa Melayu itu diutamakan di negara ini yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan. Sewajarnya Bahasa Melayu perlu dikuasai semua kaum bukan Melayu dan bukan sering sahaja menjadikan Bahasa Inggeris itu sebagai bahasa keutamaan. Kepentingan Bahasa Inggeris pada masa ini sememangnya saya tidak boleh nafikan tetapi kita perlu memartabatkan Bahasa Melayu itu sendiri.

Wawasan 2020 yang dilancar oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan misi yang bertujuan menjadikan Malaysia tergolong dalam kelompok negara maju atau negara industri dan bukan lagi negara membangun atau pesat membangun di bawah kategori dunia ketiga. Terdapat sembilan cabaran yang ditetapkan dalam wawasan tersebut termasuk dari aspek ekonomi, politik dan sosial serta psikologi, kerohanian dan perpaduan nasional.

Jika dihalusi perincian kesemua sembilan cabaran pula iaitu negara yang bermatlamatkan perkongsian bersama; masyarakat jiwa bebas; maju, berkeyakinan dan bangga; masyarakat demokratik matang; masyarakat bermoral dan beretika; masyarakat liberal yang setia pada negara; masyarakat saintifik dan progresif; masyarakat penyayang; masyarakat dengan keadilan ekonomi; dan masyarakat makmur, ternyata 1Malaysia mempunyai objektif sama iaitu

melahirkan masyarakat holistik yang memiliki pertahanan menyeluruh bukan sahaja pada dirinya tetapi menguasai nilai kemasyarakatan bersama.

(PENULIS SENDIRI) Jika kita melihat pada hari ini Datu Seri Najib sememangnya meneruskan agenda utama untuk mencapai Wawasan 2020 dan pada hari dengan pelan Program Tranformasi Ekonominya cuba untuk meningkatkan KDNK negara serta menjadi negara pendapatan tinggi. Semestinya untuk mencapai negara maju dalam sedekad ini begitu mencabar untuk merealisasikannya. Beberapa perkara perlu ditingkatkan untuk mencapai status negara maju. Persoalan adakah semua sektor yang dijalankan oleh kerajaan, sektor awam yang juga antaranya merangkumi sektor korporat ini mampu memberi pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang tidak bekerja pada hari ini dan mengurangkan tenaga buruh yang menganggur pada hari ini ? Adakah agihan2 yang diberikan secara adil dan tiada pihak yang asyik mengambil kesempatan dalam wang yang dilaburkan oleh kerajaan untuk pembangunan Negara ini?

1Malaysia bermotivasi melahirkan anak Malaysia yang mengiktiraf Wawasan 2020 dan meneruskan pengisian ke atas idea dan pemikiran pentadbiran pusat untuk melahirkan masyarakat kelas satu di negara kelas pertama. Semangat dan iltizam 1Malaysia bergantung kepada geladak semangat untuk menjayakannya dan bukan sebaliknya. 1Malaysia dan Wawasan 2020 mempunyai hubungan resiprokal yang saling balas membalas sebagai suntikan wasilah kemuafakatan, perpaduan, integrasi, kesejahteraan membina identiti nasional merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. 1Malaysia bukan sahaja kitab perpaduan tetapi penghormatan dan pengiktirafan kepada demografi dan geografi tanah air ini.

Pemahaman komprehensif mengenai 1 Malaysia bukan boleh didapati dari dokumen penerbitan semata-mata tetapi mesti menjadi asas amalan dan praktis tingkahlaku. Ia wajar dilentur dalam diri setiap individu tanpa paksaan dengan proses sosialisasi di rumah, sekolah, guru, media, rakan sebaya, agensi kerajaan mahupun swasta dan pemimpin politik menjadi ejen utamanya sekali gus menunjukkan 1Malaysia hanya akan berjaya jika ada rasa tanggungjawab bersama.

Barangkali ujian 1Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri perlu diambil oleh kesemua ejen yang disenaraikan ini untuk melihat satu dapatan analisis yang menyeluruh. Nilai kemanusiaan dan kesederhanaan menjajah segalanya. Selepas 53 tahun, jika kita masih mempertikai mengenai perpaduan, maka golongan terpencil ini perlu diperlihatkan kekuatan majoriti yang menolak fahaman pelampau terutama yang terlalu taksub dengan nilai kepolitikan mereka sehingga bersedia untuk menggadai apa yang sudah terbina sekian lamanya.

Hanya permuafakatan mampu berhadapan dengan kelompok radikal yang mahu mengambil kesempatan dari keadaan yang tidak menentu ini.

Hakikatnya, bila sesuatu konsep atau gagasan diperkenalkan, sudah pasti ia akan menimbulkan rasa mahu tahu, kekeliruan, mahu memahami serta mengetahui lebih mendalam apakah sebenarnya 1Malaysia? Ia akan merentasi tiga fasa iaitu melahirkan kesedaran, pemahaman dan pada fasa terakhir, akan wujud usaha berpanjangan untuk menerap amalan 1Malaysia dalam aktiviti dan program. Lantaran itu, selepas 15 bulan konsep ini diperkenalkan, harus diakui ia sudah menjadi perbualan dan perdebatan sehingga melahirkan golongan yang menentukan faktor penarik dan penolak ke atas kejayaan konsep ini.

Melihat ia digunakan di seluruh pelosok negara tanpa mengira batasan sama ada di kompleks kerajaan, hal-ehwal jual dan beli pengguna, bangunan pemilikan swasta serta kelompok masyarakat yang berbeza dari kanak-kanak sehingga warga emas, menunjukkan ia sudah mencapai motif fasa satu iaitu kesedaran yang tinggi telah lahir. Kini, 1Malaysia berada di fasa kedua iaitu meningkatkan kefahaman dalam kalangan anggota masyarakat umum.

Penambahbaikan secara berterusan perlu dilakukan agar pemahaman yang konkrit dapat dibina dan proses pemurnian dari maklum balas umum dilakukan untuk menunjukkan bahawa pihak berwajib prihatin ke atas pandangan dan kritikan massa. Ini kerana 1 Malaysia akan berjaya sepenuhnya jika kesemua pihak menunjukkan komitmen dan komited dengan konsep ini kerana ia dilihat oleh Najib sebagai 'masih dalam pelaksanaan' dan pelaksanaan yang berterusan dan tidak bermusim mampu menjana transformasi yang konkrit, peka, jitu dan holistik.

Setiap ejen perlu memain tanggungjawab mereka secara jujur jika mahu 1Malaysia dan cabaran Wawasan 2020 tercapai. Puak oportunis akan terus mengeksploitasi konsep ini jika rasa tanggungjawab tidak wujud dalam kalangan yang terlibat untuk menjana program yang holistik dan menepati sasaran konsep tersebut. Ia perlu dianggap sebagai Doktrin Najib kerana berlatar belakangkan strategi transformasi yang mahu dibawa oleh beliau berakarkan 1Malaysia yang meliputi lingkaran perjuangan dan pengurusan pentadbiran beliau.1Malaysia adalah perancangan strategik pihak pentadbir tetapi ia akan hanya berjaya jika setiap individu memainkan fungsi dan peranannya atas kepentingan negara.

Pastinya kita kena mengetahui bukan konsep 1 Malaysia itu bermaksud bukan semua bangsa mendapat apa yang dikatakan (sama rata, sama rasa). Ini sebenarnya perlu difahami oleh seluruh masyarakat hari ini yang masih tidak memahami konsep 1 Malaysia.

(PENULIS SENDIRI)Pelbagai kajian juga telah menunjukkan Malaysia dapat bertahan sehingga kini kerana diasaskan dengan prinsip mengekalkan dan menghormati kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan agama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Rukun Negara. (Abdul Rahman Embong, Negara-bangsa, Proses dan Perbahasan, edisi kedua, ms 25).Saya berpendapat semua para akademik juga kebanyakkannya pastinya akan bersetuju mengenai perkara seumpama ini atas dasar Perlembagaan dan Rukun Negara yang menjadi pegangan rakyat Malaysia. Pastinya jika kita menidakkannya pasti ada benda buruk akan berlaku.

**Adakah Perlembagaan Malaysia pada hari sudah lengkap pada anda ?, adakah 1 Malaysia sesuai untuk Negara kita untuk semua dan adakah benar 1 Malaysia pelengkap kearah mencapai Wawasan 2020 sekaligus mencapai status Negara maju ? Semua ini terpulang kepada anda untuk menilainya.**

**** banyak kajian telah dihasilkan dan juga penerbitan2 buku yang kita ada pada hari ini yang perlu dibaca, dikaji, difahami, dan difikir dalam menjelaskan banyak perkara mengenai Malaysia. Kita semua perlu meneliti semua ini.****

Wednesday, September 22, 2010

Konvokesyen 2010

Baru-baru ini saya telah menamatkan pengajian tertinggi saya iaitu Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Malaya(UM). Mengharungi 3 tahun di universiti sememangnya amat menarik sekali dalam hidup saya kerana berpeluang menyambungkan pelajaran di UM bermula pada tahun 2007. Saya melanjutkan pelajaran ke universiti ini selepas berjaya dalam peperiksaan STPM pada 2006. Terima kasih terutamanya kepada kedua ibu bapa saya dan juga keluarga dalam membantu dalam membuatkan kejayaan pada hari ini. Terima kasih juga kepada kawan2 dan cikgu2 di Sekolah Rendah Kebangsaan Dato Laksamana Raja Mahkota (DALARAMA) 1994-1999, Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa Teluk Intan (SEMAJA) 2000-2004 serta Sekolah Menengah Horley Methodist Teluk Intan 2005-2006. Tiga sekolah ini tidak boleh saya lupa atas mendidik saya dalam pelbagai ilmu yang saya pelajari. Terima Kasih Semua.

Dalam melanjutkan pelajaran di UM selama 3 tahun telah mematangkan saya dalam pemikiran saya sebagai seorang mahasiswa. Saya telah mengambil jurusan major Sejarah dan minor Pengajian Asia Tenggara di Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Saya telah menjadi sebahagian pelajar sejarah di Malaysia ini dan saya amat banggakan bidang ini yang saya minati sejak sek menengah lagi. Bidang sejarah telah menjadi bidang yang amat penting dalam dunia mana sekalipun. Ilmu dan Bidang Sejarah sentiasa hidup dan relevan dalam dunia ini.

Banyak ilmu yang saya pelajari di sini dan berpeluang belajar dengan para pensyarah yang amat hebat dalam pelbagai bidang ilmu. Berpeluang belajar dan berjumpa dengan para ilmuan akademik di UM sememangnya amat menarik. Para akademik yang saya minati dan mereka ini juga menjadi mentor saya di universiti antaranya ialah Tan Sri Prof Koo Kay Kim , Pro Dr Abdullah Zakaria Ghazali, Dr Azaharuddin, Dr.Zulkarnain, Dr Kamal, Prof Madya Joseph Fernando dan sebagainya. Saya di sini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kpd tenaga pengajar di Jabatan Sejarah dan Jabatan Pengajian Asia Tenggara semasa saya belajar di sini dan juga terima kasih kpd kwn2 yang banyak membantu dalam masa 3 tahun ini.

Tamatnya saya belajar di UM pada hujung bulan 5 , 2010 dan Majlis konvokesyen saya telah diadakan pada 4/8/2010. Sedikit temuramah di bwh ini bersama dengan wartawan2 pada majlis konvokesyen ini. Pada masa saya Konvokesyen sesi penyerahan skrol di sampaikan Raja Muda Perak iaitu Dr.Nazrin Shah yang juga selaku Pro-Canselor UM. Best2...hehe..=)



Proud graduates 05-Sep-2010

Diagnosed with a nerve disorder due to a fall when he was barely three years old, Mohd Yakop Ikram, 23, never let his disability stop him from pursuing his passion.

"I have always loved football, unfortunately I cannot play the sport due to my disability, but I enjoy watching the games on TV and am a strong supporter of Manchester United!"

In fact, the recent Bachelor of Arts graduate, who majored in History and Asia Pacific Studies, is halfway through his application for a Masters degree in History, and hopes to be a lecturer one day.

"I like history because it teaches us many lessons, and it can be very interesting."

Mohd Yakop with his parents after receiving his scroll.
He said that despite his disability, lecturing would be something achievable.

"I believe if you work hard, nothing can stop you from pursuing your interest and doing well," Mohd Yakop said after receiving his scroll at a convocation ceremony at Universiti Malaya recently.

At the ceremony, UM pro-chancellor Raja Nazrin Shah said, "Universities have a tradition of being centres of discussion and forums for criticisms to be voiced democratically, to tackle issues objectively without prejudice or bias because each viewpoint presented is based on facts, data and truth."

He said that universities today have gone through a period of transformation in terms of the role they play.

"As a university financed by the nation's income, it should produce graduates that fulfil the agenda and vision of the country."

A total of 6,569 received their scrolls at the ceremony. Of that number, 192 are Bachelor of Economics graduates and 468 are Bachelor of Arts graduates.















Mahathir, Kassim dan sosialisme


Buku ini saya baca semasa menuntut di Universiti Malaya(UM) ketika belajar pada tahun kedua. Kisah yang menarik bagi saya kerana membaca dalam masa beberapa jam kalau buku lain belum tentu habis baca..hehe. ketika tu juga saya sempat snap gambar buku ni kat atas katil saya..hehe..knp buku lain saya tak snap gambar dia?? mungkin buku terlalu istimewa kot...=) silalah baca buku ini....







MENDAPAT perhatian para pembaca ketika ini ialah buku Kassim Ahmad berjudul Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme Kepada Islam dengan kata pengantarnya pula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Oleh mantan Perdana Menteri disebut antara lainnya bahawa “seseorang insan akan melalui tiga fasa hidup dalam pegangan politik mereka, semasa muda mereka agak radikal dan mirip kepada pemikiran dan ideologi kiri. Apabila menempuh umur

pertengahan pandangan dan pegangan mereka lebih mencerminkan centralist dan kecuali. Apabila sudah berumur mereka lebih suka mendokong sikap dan pandangan puak kanan atau konservatif.

“Saudara Kassim sudah melalui ketigatiga fasa ini. Bab yang awal lebih kepada ideologi terutama ideologi sosialis tetapi bab-bab yang terakhir banyak berbincang berkenaan agama iaitu agama Islam.”

Dr. Mahathir selanjutnya mengucap tahniah “kepada saudara Kassim, yang pada satu masa adalah musuh politik saya, kerana dapat mengulas pemikiran dan dasar berkenaan negara yang dicintainya dengan begitu jelas di samping menceritakan riwayat hidup dirinya.”

Kassim sendiri menjelaskan beberapa peristiwa dalam kehidupannya seperti “mengapa saya keluar dari PSRM (Parti Sosialis Rakyat Malaysia) yang saya pimpin selama 18 tahun dan kemudian memasuki UMNO”. Suatu lagi ialah debat “anti-hadis” yang tercetus berikutan dengan buku saya, Hadis - Satu Penilaian Semula” menyebabkan ia dicap “anti-hadis.”

Turut diceritakan ialah peristiwa setelah beliau menarik diri dari PSRM. “Ramai dalam parti saya dan gerakan kiri yang terkejut dan sedih dengan keputusan saya keluar dari parti. Penulis dan penyair Usman Awang (Tongkat Warrant), sahabat baik dari kami semua, menelefon saya dan bertanya:

“Dengan mengeraskan hati saya, saya jawab dengan kata-kata Hamlet dalam drama Shakespeare I have to be cruel in order to be kind. Maksud saya, kapal sosialis yang kita layari itu akan tenggelam. Lebih baik kita bersedia untuk meninggalkannya.”

Panggilan telefon dari Usman Awang itu dua kali disebut dalam memoir Kassim.

Beliau menulis kisah mengenai dirinya kembali kepada “jalan lurus” Islam dan menolak “jalan-jalan yang menyeleweng” falsafah liberalisme, falsafah Marxisme dan teokrasi.

Lalu disebut mengenai pembacaan buku-buku yang mengkritik sosialisme dan komunisme seperti buku The God That Failed (1950), iaitu “cerita enam orang bekas komunis tentang pengalaman mereka dalam gerakan komunis.”

Pada bab bertajuk Quran Datang Semula beliau menulis: “Ada banyak ajaran dalam dunia ini. Liberalisme, komunisme dan teokrasi – inilah tiga ajaran besar selain Islam. Ketiga-tiga ini menyeleweng daripada jalan yang lurus, yang ditunjuk dalam Quran.

“Inilah falsafah hidup yang saya cari dalam kehidupan saya. Saya mengambil masa 36 tahun, dikira daripada umur 17 tahun, untuk mencapai matlamat itu. Saya memberitahu anak-anak saya “ayah menjumpai Islam yang sebenar setelah belajar selama 36 tahun,”

Beberapa buah sajak oleh Kassim, 75, dipeturunkan, termasuk Pengembara Dalam Perjalanan (1978) berbunyi:

Aku seorang pengembara

di dalam perjalanan pulang

seperti matahari, gunung, lautan, pokok dan bintang

memilih jalan lurus

di antara jalan-jalan menyimpang

untuk pulang

Sebuah lagi buku yang menyentuh pertembungan masa lampau di antara Dr. Mahathir dan Kassim ialah Surat Daripada Dr. Mahathir oleh Zainuddin Maidin (Zam), mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu dan kemudian Menteri Penerangan. Pada satu bahagian Zam menulis:

“Dr. Mahathir sebenarnya tidak pernah percaya kepada sosialisme sebagai jalan ke arah memberikan persamaan kemakmuran kepada rakyat. Sejak awal lagi beliau percaya kepada kapitalisme dan kepada ekonomi pasaran bebas.

Dalam banyak ucapan dan tulisannya pada awal tahun 60-an Dr. Mahathir mengemukakan pandangannya bahawa orang sosialis dan komunis berjuang memperkecilkan kek dan kemudian cuba membahagiakan kek yang kecil itu kepada semua orang dengan sama rata. Tetapi, katanya kapitalisme membesarkan kek dan membahagi-bahagikannya.

Pada tahun 1971, Zam menulis lagi, apabila dikemukakan kepadanya tentang kepercayaan Kassim Ahmad bahawa pemimpin Vietnam Utara, Ho Chi Minh boleh menjadi contoh seorang pemimpin sosialis yang baik di Asia, Dr. Mahathir berkata: “Belum tentu. Dia masih belum berkuasa, kalau sudah berkuasa, dia akan berubah.”

Perkara ini timbul ekoran daripada satu forum di Universiti Sains Pulau Pinang di mana Kassim Ahmad semasa menjawab satu pertanyaan telah berkata: “Jika Sukarno tidak boleh diambil sebagai contoh kenapa tidak ambil Ho Chi Minh sebagai contoh pemimpin sosialis yang baik.” Demikian catitan Zam.

Pelbagai gambar disiarkan dalam buku Kassim, termasuk lawatan ke makam Karl Marx di London, gambar semasa ditahan di bawah ISA pada 3 November 1976, gambar pembebasan dan tahanan pada 30 Julai 1981 dan gambar bersama Saddam Hussein.

Akhir kata dari bukunya: “Selamat tinggal kepada dunia lama dan selamat datang kepada dunia baru, sebuah dunia yang adil, selamat dan bahagia untuk semua pasti akan lahir. Ini sunnatullah. Tetapi ia mesti berlaku dengan aktiviti kita.

Kitalah yang perlu bertindak, mengikut ajaran Tuhan dalam Quran, untuk membina dunia baru ini.”


Sumber :Dipetik daripada Utusan Melayu ditulis oleh Mazlan Nordin.

Sunday, September 19, 2010

Mata pelajaran perlu diubah : Pendidikan Sejarah mampu bina jati diri pelajar

BERITA HARIAN -9 September 2010-Mohd Yakop Ikram



TANGGAL 31 Ogos sudah berlalu, namun kita masih berada dalam suasana menyambut kemerdekaan kerana pada 16 September ini negara menyambut Hari Malaysia. Adakah rakyat Malaysia memahami apakah itu kemerdekaan yang kita capai selama ini ? Sejauh manakah semangat patriotik rakyat Malaysia dalam dunia moden sekarang ini ? Adakah mereka tahu perjuangan yang sukar perlu ditempuhi oleh pemimpin dan rakyat sebelum dan ketika memperjuangkan negara ini untuk mengecapi kemerdekaan 31 ogos 1957 ?

Pejuang yang diketuai Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman, berusaha keras untuk mendapatkan kemerdekaan dengan gabungan antara tiga kompenen parti kaum utama iaitu Melayu(UMNO), Cina(MCA) dan India(MIC) di bawah bumbung Perikatan. Gabungan ini bukan satu-satunya pihak yang menuntut kemerdekaan.

Parti Kemerdekaan Malaya dan kemudiaan Parti Negara yang diterajui Datuk Onn Jaafar turut sama menuntut kemerdekaan. Parti Perikatan melalui Tunku Abdul Rahman berjaya mengecap kejayaan dalam memerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British.

Sebenarnya bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Gerakan mendapatkan kemerdekaan begitu mencabar sekali dengan banyak usaha , cabaran dan rintangan yang dilalui untuk mencapainya. Jika mahu diceritakan mengenai perjuangan kearah kemerdekaan begitu luas sekali dan hal inilah sepatutnya semua ini dipelajari oleh semua rakyat Malaysia.

Di dalam buku teks sekolah menengah amat kurang menceritakan secara terperinci mengenai kemerdekaan dan hal ini memberi satu gambaran yang tidak cukup luas kepada pelajar mengenai kemerdekaan yang sebenarnya. Justeru, skop pelajaran di sekolah perlu diubah dengan penambahan tertentu bagi melahirkan semangat patriotik jitu kalangan genarasi muda.

Selain itu, setiap tahun pelajar sekolah menyambut bulan kemerdekaan , tetapi adakah pengisiannya cukup ? Guru-guru di sekolah memainkan peranan penting mendidik pelajar memahami erti kemerdekaan sebenar.

Dalam masa yang sama, pengenalan mengenai Sejarah Tanah Air dan Kenegaraan perlu diperkenalkan dan dilakukan secara menyeluruh bagi rakyat memahami sejarah tanah air sendiri dengan lebih meluas.

Subjek sejarah perlu merangkumi penekanan mengenai kenegaraan dan tanah air bermula di bangku sekolah rendah lagi. Pelajaran sejarah tidak berhenti ketika di sekolah menengah tetapi diteruskan hingga ke pusat pengajian tinggi.

Pembelajaran Perlembagaan dan Undang-undang juga dilihat perlu diketengahkan pada masa ini kerana rakyat Malaysia masih ramai tidak memahaminya sebahagian daripada Rukun Negara yang sepatutnya difahami dan dikuasai.

Subjek sejarah perlu merangkumi penekanan sejarah mengenai kenegaraan dan tanah air yang mana perlu bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi. Subjek sejarah ini juga tidak berhenti semasa sekolah menengah tetapi diteruskan di pusat pengajian tinggi.

Pembelajaran sejarah sejak awal pasti akan memberi satu impak positif yang akan memudahkan setiap rakyat menerima diri masing-masing atas paksi di bumi nyata. Kepentingan pendidikan sejarah amat penting dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.