Kerja Kosong

Friday, September 24, 2010

PERLEMBAGAAN DAN SATU MALAYSIA

Dua artikel di Utusan iaitu mengulas mengenai Perlembagaan Sudah Lengkap dan Pelengkap Wawasan 2020 telah menarik perhatian saya. Saya cuba menggabungkan 2 artikel ini dan beberapa buku untuk rujukan untuk saya post di blog ini. Juga sedikit pendapat dan tafsiran saya sendiri di dalam kedua-dua artikel rencana ini.

ARTIKEL PERTAMA

Jika kita amati sejak akhir-akhir ini dilihat semakin ramai pihak cuba menyoal pelbagai isu yang tidak sepatutnya timbul. Antaranya seperti menyoal mengenai perlembagaan negara Malaysia. Apakah menyebabkan mereka berbuat demikian ? Adakah mereka ini sengaja dalam mencari jalan untuk kepentingan tertentu ?

Perlembagaan Sudah Lengkap-oleh Rohani Ibrahim di dalam Utusan Malaysia 23/9/2010

SEORANG pemimpin veteran negara jiran baru-baru ini mendakwa Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak adil serta menyisihkan kaum lain.Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dalam satu temu bual dengan akhbar New York Times pada 1 September lalu turut mengkritik sistem yang diamalkan di negara ini. Sambil membayangkan Malaysia mungkin menjadi lebih baik jika tidak berpisah dengan Singapura, Kuan Yew turut mendakwa kononnya republik itu pada hari ini sudah mencapai tahap yang membanggakan dalam hubungan antara kaum.Kenyataan Kuan Yew yang menyentuh hubungan antara kaum di negara ini umpama mempertikai hak dan keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain pemimpin asing, di dalam negara juga terdapat pihak yang membangkitkan soal hak dan kedudukan orang Melayu.Ahli Parlimen Pembangkang, Nurul Izzah Anwar dilaporkan mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan keistimewaan orang Melayu.

(PENULIS SENDIRI)Perlukah orang Melayu sendiri menyoal hak keistimewaan orang Melayu? Adakah anda semua tidak berasa pelik tindakan beliau ini? Seperti juga Menteri Besar Kelantan yang mengatakan tidak bangga menjadi orang Melayu. Adakah semua ini anda boleh memikirkan sebab dan musabab semua perkara ini berlaku dan impaknya terhadap orang Melayu sendiri atas perkara yang dibuat oleh pemimpin2 seperti ini?

(KONSEP MELAYU)Terdapat beberapa konsep Melayu, antaranya seperti di dalam buku Abdul Rahman Embong, Negara-bangsa, Proses dan Perbahasan, edisi kedua, ms 51-52. Konsep Melayu yang dirumuskan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu dalam Fasal 160 dan Fasal 89(6) mengenai Tanah Simpanan Melayu (Perlembagaan Persekutuan 1989) . Konsep ini berasal daripada definisi yang dilakukan oleh pihak berkuasa Inggeris untuk keperluan pentadbiran, khususnya dengan tujuan membentuk Enakmen Tanah Simpanan Melayu pada awal abad ke-20. Pentakrifan Melayu seperti ini muncul sebagai reaksi kepada kebanjiran orang Cina dan India ke Tanah Melayu hasil daripada dasar penjajah Inggeris membawa masuk buruh asing bekerja di lombong dan lading di Tanah Melayu. Takrifkan ini kemudian terus digunakan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 1957 dan juga apabila Persekutuan Malaysia terbentuk pada 1963. Mengikut konsep ini, Melayu bermaksud mereka yang berbahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan kebudayaan Melayu (Perlembagaan Persekutuan 1989 Fasal 160).

Renung-renungkanlah….

Sementara Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini pernah mendedahkan tentang usaha mewujudkan 'perlembagaan baru' oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan.Beliau yang mempunyai bukti mengenainya mendakwa, perlembagaan baru itu menyisihkan hak orang Melayu dan agama Islam yang dijamin dalam Perlembagaan yang sedia ada.

Pakar sains politik, Dr. Chandra Muzaffar ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya minggu lalu menyifatkan Perlembagaan Negara bertujuan mengatasi masalah ketidaksamarataan antara pelbagai kaum.

Menurut Chandra,salah satu fakta sejarah yang sering dilupakan ialah hak kerakyatan untuk masyarakat bukan Melayu di negara ini yang diberikan oleh raja-raja Melayu dan golongan elit UMNO.

** ''Bukan pihak British yang memberikan kerakyatan kepada kaum bukan Melayu tetapi orang Melayu. Sementara Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan pula menjelaskan bahawa semua warganegara mempunyai hak yang sama rata di sisi undang-undang. 'Jika anda fahami dengan betul, motif Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah mengelakkan situasi tidak sama rata. Kedudukan istimewa orang Melayu (seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan) mempunyai kaitan dengan kesamarataan. "Ini kerana, ketika negara mencapai kemerdekaan, begitu ramai masyarakat Melayu hidup dalam kemiskinan," jelas Chandra.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai penglibatan beliau sebagai salah seorang ahli panel dalam persidangan The Gathering of Great Minds yang akan diadakan pada 24 September ini.

Tambah Chandra, keadaan tidak sama rata timbul apabila pemimpin Melayu membuka pintu dengan memberikan kerakyatan segera kepada masyarakat bukan Melayu ketika negara mencapai kemerdekaan.

''Sekelip mata saja golongan bukan Melayu diberikan kerakyatan. Ini merubah peta demografi. Jadi, masyarakat Melayu sebagai tuan rumah yang membuka pintu kerakyatan negara kepada kaum bukan Melayu mahu memelihara kedudukan dan kepentingan mereka terutamanya dari segi pendidikan, pekerjaan dan pemilikan harta.

''Ini bagi memastikan orang Melayu tidak kehilangan atau kerugian apabila bersikap pemurah dengan pemberian kerakyatan berkenaan. Terma warganegara yang diberikan di Malaysia juga agak luar biasa," jelas beliau yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just).

Dalam memahami realiti ini, menurut Chandra, perlu ada proses penerimaan oleh masyarakat dan pemimpin Melayu sebagai pihak yang membuka pintu kerakyatan dan proses menyesuaikan diri oleh pihak yang diberikan kerakyatan. ''Di negara lain seperti Perancis, Jerman atau Kanada, syarat dikenakan untuk menjadi warganegara.

Namun di Malaysia, syarat-syarat sedemikian diketepikan. Oleh itu, kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan bertujuan memastikan orang Melayu sebagai golongan yang memberikan kerakyatan kekal sama rata dengan golongan lain. ''Beberapa aspek hak dan kedudukan istimewa tersebut perlulah dikaji semula dari semasa ke semasa mengikut perubahan masa. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengubah kuota etnik bagi pengambilan pelajar universiti dan hanya mengekalkannya untuk fakulti tertentu sahaja," katanya. Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Chandra, membuat satu lagi perubahan dengan mengumumkan dasar liberalisasi dalam 27 sub-sektor perkhidmatan dan sektor kewangan.

''Jadi, Perkara 153 bukanlah satu klausa yang bertujuan memberikan kelebihan kepada satu komuniti atau menjadikan mana-mana kaum lebih dominan. "Perlembagaan negara lain yang agak mirip kepada Perlembagaan Persekutuan ialah Perlembagaan India yang memberikan hak yang sama rata kepada semua warganegara. ''Perlembagaan tersebut bagaimanapun memberikan peruntukan khas kepada kasta-kasta yang disenaraikan," jelasnya.

Chandra menambah, Perlembagaan Persekutuan merupakan satu perlembagaan yang lengkap dan menyeluruh kerana ia mengutamakan keseimbangan.

''Ia merujuk kepada Bahasa Kebangsaan dan lain-lain bahasa, agama rasmi dan agama-agama lain serta kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan kaum lain.

"Pada pandangan saya, perlu dipastikan kita tidak lari daripada kerangka Perlembagaan tersebut dalam memelihara keseimbangan antara kaum. ''Jika kita mengetepikan Perlembagaan ini dan cuba mencari panduan lain, saya rasa kita bakal berhadapan dengan masalah besar. Satu-satunya, panduan yang perlu dijadikan rujukan ialah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

ARTIKEL KEDUA

Tajuk artikel di bawah ini mengenai 1 Malaysia yang dikatakan sebagai pelengkap kepada Wawasan 2020. Mungkin kita pada hari ini masih kurang jelas mengenai 1 Malaysia dan ini mungkin jawapannya pada persoalan-persoalan di minda kita semua.

Pelengkap Wawasan 2020-Prof Madya Dr.Sivamurugan Pandian (UKM) 21/9/2010 Utusan Melayu

Konsep 1Malaysia merupakan antara gagasan induk pemikiran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diperkenalkan ketika beliau mengambilalih teraju kepimpinan negara. Sejak mukadimahnya, konsep itu diberikan nilai pengukuhan yang dominan terutama dari sifatnya yang dikatakan sebagai satu kesinambungan daripada konsep, gagasan, manifestasi mahupun agenda kepimpinan yang lalu.

Bermakna, sejak merdeka sehingga detik 1 Malaysia, ia mencerminkan satu pendekatan yang mempunyai matlamat yang sama berpaksikan kepada usaha berterusan kesemua kepimpinan untuk memastikan rakyat hidup sejahtera dan secara berterusan cuba memperbaiki kualiti kehidupan agar masyarakat dapat menikmati limpahan kekayaan sumber bersama tanpa ada gugatan ke atas kemajmukan anggota masyarakat.

Kepelbagaian disimpul sebagai satu kekuatan dan keunikan yang menjadi perisai kemakmuran untuk dirai dan dijunjung ketertinggiannya. Zaman Tunku Abdul Rahman telah membina nilai kemasyarakatan bersama sebaik merdeka, zaman Tun Abdul Razak pula merapatkan jurang masyarakat bandar dan luar bandar manakala Tun Hussein Onn mempertahankan keharmonian dalam kepelbagaian apabila kumpulan ekstremis muncul.

Bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad, modenisasi adalah asas untuk membina bangsa yang bergerak ke hadapan dan Tun Abdullah Ahmad Badawi merencanakan pembinaan modal insan yang ada kekuatan diri.

Najib mengadun kesemuanya dalam konsep 1Malaysia untuk memastikan politik muafakat kekal sebagaimana peninggalan pejuang kemerdekaan dan perekacipta negara bangsa hari ini sekali gus mengisi kestabilan dengan membina keadilan untuk semua agar kesepaduan dan hidup berukun kekal dalam proses membina bangsa yang maju tanpa melunturkan nilai ketimuran.

Islam dengan amalan addin terus dipraktis bagi memastikan kesederhanaan mampu melahirkan bangsa Malaysia yang memiliki ilmu, kemahiran dan kebolehan dengan dilitupi oleh keperibadian mulia.

Keunikan 1Malaysia adalah ia mahu membina rasa tanggungjawab warga Malaysia terhadap tanah air dengan memberi kekuatan ke atas hak masing-masing sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan.

Ia membina pertahanan menyeluruh agar mana-mana individu dari apa juga latar belakang kumpulan agama, etnik, kepercayaan dan gender serta fahaman politik akan mengutamakan nilai sekuriti kemanusiaan dan bukan kepentingan ideologi agar kestabilan tidak tergugat oleh kesempitan politik yang dipenuhi dengan manipulasi, spekulasi, provokasi dan emosi hari ini.

1Malaysia adalah kebergantungan negara yang berdaulat dan pengisian bukan sahaja memakmurkan negara tetapi melahirkan kepercayaan dan keyakinan ke atas nilai 'kepunyaan' agar jati diri berpusatkan kepada nasionalisme dan patriotisme. 1Malaysia tidak berhasrat untuk meruntuhkan iman kepercayaan seseorang tetapi menjadi landasan untuk terus mempertahankan apa sahaja yang diwarisi tanpa perlu merobek pemilikan orang lain.

Ia bukan asimilasi tetapi merupakan integrasi agar masing-masing dapat menggunakan dokumen Perlembagaan sebagai teras identiti mereka dan pada waktu yang sama bertanggungjawab bukan untuk meningkatkan sifat prejudis, wasangka dan kecurigaan tetapi yakin bahawa ada rasa 'bersama', meraikan kepelbagaian menerusi amalan dan kehidupan harian serta bukan sekadar bersifat retorik semata-mata.

Nilai besar dalam memahami budaya masyarakat penting dan diberi keutamaan supaya keharmonian dapat terus terpelihara, asas pembentukan negara bangsa ini.

Perasaan hormat, memahami, menerima, tasamuh, ukhwah dan qudwah perlu jika mahu terus hidup berukun tanpa menyoal apa yang dipersetujui oleh pemimpin kemerdekaan dahulu. Pemimpin-pemimpin ini merupakan wira bangsa yang menyedari pengisian kemerdekaan perlu beralaskan kepada nilai kepercayaan.

Ini menunjukkan bahawa nilai yang dipersetujui dalam Kontrak Sosial diperkukuhkan perinciannya, peninggalan pejuang kemerdekaan 53 tahun lalu. Masing-masing masih boleh praktis amalan kepercayaan dan bahasa masing-masing dan pada waktu yang sama memastikan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi tidak dipersoal di bawah Perkara 3 sebagaimana bahasa rasmi adalah Bahasa Melayu di bawah Perkara 152. Begitu juga dengan kedudukan istimewa Bumiputera di bawah Perkara 153. Kekebalan masyarakat masih di bawah kedaulatan dan panjí institusi raja-raja Melayu di bawah Perkara 181 yang keluhurannya perlu dipertahankan oleh setiap individu.

(PENULIS SENDIRI)***Apa itu Kontrak Sosial ?- Kontrak Sosial bermula dengan pendirian bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya. Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat. (ini saya petik dari buku Pengantar Sains Politik, Syed Ahmad Hussein ms 189.

Kesemua ini menjadi intipati 'perkongsian'. Yang menimbulkan kekeliruan bahawa 1 Malaysia akan merobohkan apa yang sudah terbina selama ini merupakan golongan yang tidak mahu melihat kepimpinan Najib merealisasikan Wawasan 2020 kerana 1Malaysia adalah pelengkap wawasan yang diberikan pengiktirafan dengan menggunakan 1Malaysia sebagai alat memacu kecemerlangan yang akhirnya ketika fajar 2020 menyingsing, lahir satu bangsa Malaysia yang bangga menjadi rakyat negara ini, menjunjung Perlembagaan dan fasih bahasa Melayu.

(PENULIS SENDIRI) Satu perkara yang saya mahu ketengahkan mengenai Bahasa Melayu. Saya cuba melihat mengapa orang bukan Melayu tidak fasih dalam Bahasa Melayu walaupun sudah 53 tahun negara kita merdeka. Siapakah mereka? Bahkan sudah menjadi pemimpin pun ada yang masih fasih berbahasa Melayu. Kenapa kita menyanjung tinggi bahasa luar seperti Bahasa Inggeris ? dan dimana tempatnya Bahasa Melayu itu diutamakan di negara ini yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan. Sewajarnya Bahasa Melayu perlu dikuasai semua kaum bukan Melayu dan bukan sering sahaja menjadikan Bahasa Inggeris itu sebagai bahasa keutamaan. Kepentingan Bahasa Inggeris pada masa ini sememangnya saya tidak boleh nafikan tetapi kita perlu memartabatkan Bahasa Melayu itu sendiri.

Wawasan 2020 yang dilancar oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan misi yang bertujuan menjadikan Malaysia tergolong dalam kelompok negara maju atau negara industri dan bukan lagi negara membangun atau pesat membangun di bawah kategori dunia ketiga. Terdapat sembilan cabaran yang ditetapkan dalam wawasan tersebut termasuk dari aspek ekonomi, politik dan sosial serta psikologi, kerohanian dan perpaduan nasional.

Jika dihalusi perincian kesemua sembilan cabaran pula iaitu negara yang bermatlamatkan perkongsian bersama; masyarakat jiwa bebas; maju, berkeyakinan dan bangga; masyarakat demokratik matang; masyarakat bermoral dan beretika; masyarakat liberal yang setia pada negara; masyarakat saintifik dan progresif; masyarakat penyayang; masyarakat dengan keadilan ekonomi; dan masyarakat makmur, ternyata 1Malaysia mempunyai objektif sama iaitu

melahirkan masyarakat holistik yang memiliki pertahanan menyeluruh bukan sahaja pada dirinya tetapi menguasai nilai kemasyarakatan bersama.

(PENULIS SENDIRI) Jika kita melihat pada hari ini Datu Seri Najib sememangnya meneruskan agenda utama untuk mencapai Wawasan 2020 dan pada hari dengan pelan Program Tranformasi Ekonominya cuba untuk meningkatkan KDNK negara serta menjadi negara pendapatan tinggi. Semestinya untuk mencapai negara maju dalam sedekad ini begitu mencabar untuk merealisasikannya. Beberapa perkara perlu ditingkatkan untuk mencapai status negara maju. Persoalan adakah semua sektor yang dijalankan oleh kerajaan, sektor awam yang juga antaranya merangkumi sektor korporat ini mampu memberi pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang tidak bekerja pada hari ini dan mengurangkan tenaga buruh yang menganggur pada hari ini ? Adakah agihan2 yang diberikan secara adil dan tiada pihak yang asyik mengambil kesempatan dalam wang yang dilaburkan oleh kerajaan untuk pembangunan Negara ini?

1Malaysia bermotivasi melahirkan anak Malaysia yang mengiktiraf Wawasan 2020 dan meneruskan pengisian ke atas idea dan pemikiran pentadbiran pusat untuk melahirkan masyarakat kelas satu di negara kelas pertama. Semangat dan iltizam 1Malaysia bergantung kepada geladak semangat untuk menjayakannya dan bukan sebaliknya. 1Malaysia dan Wawasan 2020 mempunyai hubungan resiprokal yang saling balas membalas sebagai suntikan wasilah kemuafakatan, perpaduan, integrasi, kesejahteraan membina identiti nasional merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. 1Malaysia bukan sahaja kitab perpaduan tetapi penghormatan dan pengiktirafan kepada demografi dan geografi tanah air ini.

Pemahaman komprehensif mengenai 1 Malaysia bukan boleh didapati dari dokumen penerbitan semata-mata tetapi mesti menjadi asas amalan dan praktis tingkahlaku. Ia wajar dilentur dalam diri setiap individu tanpa paksaan dengan proses sosialisasi di rumah, sekolah, guru, media, rakan sebaya, agensi kerajaan mahupun swasta dan pemimpin politik menjadi ejen utamanya sekali gus menunjukkan 1Malaysia hanya akan berjaya jika ada rasa tanggungjawab bersama.

Barangkali ujian 1Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri perlu diambil oleh kesemua ejen yang disenaraikan ini untuk melihat satu dapatan analisis yang menyeluruh. Nilai kemanusiaan dan kesederhanaan menjajah segalanya. Selepas 53 tahun, jika kita masih mempertikai mengenai perpaduan, maka golongan terpencil ini perlu diperlihatkan kekuatan majoriti yang menolak fahaman pelampau terutama yang terlalu taksub dengan nilai kepolitikan mereka sehingga bersedia untuk menggadai apa yang sudah terbina sekian lamanya.

Hanya permuafakatan mampu berhadapan dengan kelompok radikal yang mahu mengambil kesempatan dari keadaan yang tidak menentu ini.

Hakikatnya, bila sesuatu konsep atau gagasan diperkenalkan, sudah pasti ia akan menimbulkan rasa mahu tahu, kekeliruan, mahu memahami serta mengetahui lebih mendalam apakah sebenarnya 1Malaysia? Ia akan merentasi tiga fasa iaitu melahirkan kesedaran, pemahaman dan pada fasa terakhir, akan wujud usaha berpanjangan untuk menerap amalan 1Malaysia dalam aktiviti dan program. Lantaran itu, selepas 15 bulan konsep ini diperkenalkan, harus diakui ia sudah menjadi perbualan dan perdebatan sehingga melahirkan golongan yang menentukan faktor penarik dan penolak ke atas kejayaan konsep ini.

Melihat ia digunakan di seluruh pelosok negara tanpa mengira batasan sama ada di kompleks kerajaan, hal-ehwal jual dan beli pengguna, bangunan pemilikan swasta serta kelompok masyarakat yang berbeza dari kanak-kanak sehingga warga emas, menunjukkan ia sudah mencapai motif fasa satu iaitu kesedaran yang tinggi telah lahir. Kini, 1Malaysia berada di fasa kedua iaitu meningkatkan kefahaman dalam kalangan anggota masyarakat umum.

Penambahbaikan secara berterusan perlu dilakukan agar pemahaman yang konkrit dapat dibina dan proses pemurnian dari maklum balas umum dilakukan untuk menunjukkan bahawa pihak berwajib prihatin ke atas pandangan dan kritikan massa. Ini kerana 1 Malaysia akan berjaya sepenuhnya jika kesemua pihak menunjukkan komitmen dan komited dengan konsep ini kerana ia dilihat oleh Najib sebagai 'masih dalam pelaksanaan' dan pelaksanaan yang berterusan dan tidak bermusim mampu menjana transformasi yang konkrit, peka, jitu dan holistik.

Setiap ejen perlu memain tanggungjawab mereka secara jujur jika mahu 1Malaysia dan cabaran Wawasan 2020 tercapai. Puak oportunis akan terus mengeksploitasi konsep ini jika rasa tanggungjawab tidak wujud dalam kalangan yang terlibat untuk menjana program yang holistik dan menepati sasaran konsep tersebut. Ia perlu dianggap sebagai Doktrin Najib kerana berlatar belakangkan strategi transformasi yang mahu dibawa oleh beliau berakarkan 1Malaysia yang meliputi lingkaran perjuangan dan pengurusan pentadbiran beliau.1Malaysia adalah perancangan strategik pihak pentadbir tetapi ia akan hanya berjaya jika setiap individu memainkan fungsi dan peranannya atas kepentingan negara.

Pastinya kita kena mengetahui bukan konsep 1 Malaysia itu bermaksud bukan semua bangsa mendapat apa yang dikatakan (sama rata, sama rasa). Ini sebenarnya perlu difahami oleh seluruh masyarakat hari ini yang masih tidak memahami konsep 1 Malaysia.

(PENULIS SENDIRI)Pelbagai kajian juga telah menunjukkan Malaysia dapat bertahan sehingga kini kerana diasaskan dengan prinsip mengekalkan dan menghormati kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan agama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga Rukun Negara. (Abdul Rahman Embong, Negara-bangsa, Proses dan Perbahasan, edisi kedua, ms 25).Saya berpendapat semua para akademik juga kebanyakkannya pastinya akan bersetuju mengenai perkara seumpama ini atas dasar Perlembagaan dan Rukun Negara yang menjadi pegangan rakyat Malaysia. Pastinya jika kita menidakkannya pasti ada benda buruk akan berlaku.

**Adakah Perlembagaan Malaysia pada hari sudah lengkap pada anda ?, adakah 1 Malaysia sesuai untuk Negara kita untuk semua dan adakah benar 1 Malaysia pelengkap kearah mencapai Wawasan 2020 sekaligus mencapai status Negara maju ? Semua ini terpulang kepada anda untuk menilainya.**

**** banyak kajian telah dihasilkan dan juga penerbitan2 buku yang kita ada pada hari ini yang perlu dibaca, dikaji, difahami, dan difikir dalam menjelaskan banyak perkara mengenai Malaysia. Kita semua perlu meneliti semua ini.****

No comments:

Post a Comment