P/S inilah hubungan yang dapat dilihat yang terikatnya Malaysia-Britain, -tulisan Untung Sabut Timbul.
Waktu lewat petang di Hyde Park pada awal musim bunga, cuaca di kota London nyaman rasanya. Dinginnya adalah seperti berada dalam ruang berhawa dingin, tetapi di luar bangunan. Menurut seorang Melayu yang sudah lama menetap di sini, di sudut pidato, Speakers Corner di Hyde Park yang terkenal di seluruh dunia dalam sejarah sebagai ikon kebebasan bersuara, setiap hari Ahad sesiapapun bebas hendak bercakap apa saja. Hendak mengkritik keluarga diraja, malah perdana menteri pun boleh.
Tapi awas, katanya. Jangan cakap mengutuk gay. Bahaya. Kota London bersifat kosmopolitan. Sebagai bekas ibu negara empayar terbesar zaman moden, London menghimpun pelbagai bangsa dari negara-negara bekas tanah jajahannya. Mereka jadi penduduk tetap atau berada di sini dengan pelbagai kegiatan. Sama ada belajar atau bekerja tetapi kota London menjadi tempat tarikan kunjungan rakyat Malaysia. Seolah-olah Britain ini bukan negara asing bagi mereka. Kalau mereka berkunjung ke Eropah, ada saja usaha untuk singgah ke London.
Kalaulah Britain ini dekat dengan Malaysia, mungkin lebih banyak lagi rakyatnya akan datang. Pelajar Malaysia di Australia lebih ramai daripada Britain. Mungkin sebabnya ialah Australia adalah dekat dan lebih murah. Tetapi Australia menjadi negara yang seolah-oleh menjadi pengganti kepada Britain bagi rakyat Malaysia.
Bukan saja Australia yang dirasakan seperti Britain tetapi juga New Zealand dan Kanada. Tetapi tentunya tidak sama dengan Britain. Kalau mampu, mereka tetap mahu menuntut di Britain. Walaupun dalam keadaan tukaran wang asing yang menyebabkan Britain begitu mahal, orang Malaysia tetap mahu belajar di Britain, khususnya mereka yang membiaya sendiri pelajarannya.
Tetapi perasaan tersembunyi ini bukan saja ada pada rakyat Malaysia tetapi juga kemungkinannya kepada warga negara-negara bekas tanah jajahannya. Warga Singapura, Brunei, Hong Kong, India, Pakistan dan lain-lain negara Komanwel turut merasai fenomena ini.
Adakah perasaan seumpama ini berlaku di negara-negara lain dengan bekas penjajah mereka? Ia berlaku juga dengan bekas-bekas tanah jajahan Perancis dan Belanda. Malah Amerika Syarikat yang berperang menentang Britain dalam mendapatkan kemerdekaan akhirnya menjadi sekutu kuat yang seolah-olah menjadikan kedua-dua negara itu berkembar. Mungkin kerana ibunda bangsa Amerika adalah Britain.
Tetapi Britain bukan ibunda rakyat Malaysia. Baik Melayu, Cina, India apatah lagi Iban dan Kadazan. Kedah pernah menyerahkan Pulau Pinang dengan harapan Britain dapat mempertahankannya daripada Siam. Akhirnya Britain tidak memenuhi janjinya, malah memperoleh Seberang Perai dan menjajah Kedah melalui gagasan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Menakluki
Apabila Jepun menakluki Tanah Melayu, Britain tinggalkan negara ini begitu saja. Banyak penduduk Tanah Melayu dan Singapura marah dengan sikap penjajah yang gagal mempertahankan negara ini. Sepanjang pentadbiran Jepun, Kedah diserahkan pada Siam.
Akhirnya anak Kedah yang berusaha mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Setiap kali berjalan di depan Westminster Abbey, Parlimen Britain dan 10, Downing Street, pejabat Perdana Menteri Britain, teringat dalam filem rencana lama-lama apabila rombongan pemimpin Malaya berada di London berusaha berjumpa dengan orang besar empayar Britain untuk menagih kemerdekaan.
Walaupun merdeka, Tanah Melayu tidak terlepas daripada Britian. Soal pertahanan, keselamatan dan ekonomi ditentukan di London. Malah London yang memaksa Malaya digabungkan dengan Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara untuk menjadi Malaysia. Dengan keberatan Tunku Abdul Rahman menerima tekanan daripada London itu. Ya, Britain adalah ibunda kepada Malaysia.
Hampir 20 tahun kemudian, lagi seorang anak Kedah yang menjadi Perdana Menteri yang mengalihkan paksi negara daripada Barat ke Timur. Daripada Britain ke Jepun. Tetapi Jepun bukanlah asing bagi Malaysia. Ia juga bekas penjajah negara ini. Penaklukannya ke atas Malaya dibantu oleh nasionalis Melayu, Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang terdiri daripada bekas pelajar di dua institusi pelajaran yang ditubuhkan oleh British iaitu Maktab Perguruan Tanjung Malim dan Kolej Pertanian Serdang.
Jepun memberikan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam tetapi mengambil Sumatera untuk disatukan dengan Tanah Melayu. Orang Malaya benci Jepun kerana kezalimannya. Apabila Britain kembali, banyak yang mengalu-alukannya tetapi London melihat orang Melayu sebagai pengkhianat dan membalasnya dengan gagasan Malayan Union.
Orang Melayu menentang Britain dan menuntut kemerdekaan. Hanya pada masa pentadbiran Tun Razak Hussein, Malaysia dapat membebaskan diri dari segi pertahanan, hal ehwal luar dan ekonomi dan London tidak dapat diterima mereka terlepas Sime Darby dan Guthrie melalui undang-undang ciptaan mereka sendiri.
Sementara semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad, Dasar Pandang ke Timur dan Buy British Last meletakkan Britain jauh daripada biasa. Tetapi hakikatnya Britain terus dekat di hati Malaysia. Sidang Kemuncak Komanwel diadakan secara gilang-gemilang di Kuala Lumpur. Bukan itu saja, siapa yang tidak ingat sukan Komanwel tahun 1998. Ada dikatakan bahawa dasar penswastaan Malaysia turut mengambil contoh daripada gagasan yang dipelopori oleh Perdana Menteri Margaret Thatcher. Malah Dr. Mahathir juga terkenal dengan pendokong bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik. Masih menjadi isu sekarang ini.
Orang Islam marah pada bekas Perdana Menteri Tony Blair kerana perang Iraq. Tetapi sepanjang pentadbiran Parti Buruhnya yang begitu lama, hubungan Malaysia dan Britain tidak begitu diambil peduli. Tetapi nampaknya kini di bawah kerajaan campuran Konservatif - Liberal Demokratik pimpinan David Cameron, hubungan kedua-dua negara akan diberi perhatian.
Cameron, nama yang biasa bagi orang Malaysia. Ya, kita ada Cameron Highland.
No comments:
Post a Comment