Menjayakan transformasi ekonomi
|
|
Sejak mengambil alih kepimpinan negara pada April 2009, istilah “transformasi” antara perkataan yang paling kerap diutarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Hampir di mana sahaja, baik forum ekonomi, sosial, pendidikan, malah juga politik, keperluan untuk kita melaksanakan transformasi pastinya diungkapkan. Rakyat dilontarkan dengan satu istilah yang besar ertinya secara bertubi-tubi oleh kepimpinan negara.
Secara mudah, istilah ini mempunyai dua gabungan perkataan iaitu “trans” dan “formasi” yang memerlukan kita melaksanakan dua perkara secara serentak. Kita perlu bergerak, berubah atau berganjak dari satu tempat, keadaan, situasi ke satu destinasi yang baru dan dalam masa yang sama mengubah bentuk, struktur, kaedah pengoperasian dalam menguruskan keperluan diri, masyarakat dan juga negara.
Saya amat tertarik dengan “keberanian” kerajaan untuk meletakkan transformasi ekonomi ini sebagai satu agenda besar negara. Proses transformasi bukan satu istilah kosong untuk mengejar populariti atau untuk seronok-seronok yang melekakan. Ini adalah satu pertaruhan yang begitu besar dan pastinya menjadi pembayang utama atas kesungguhan kerajaan dalam memajukan ekonomi negara dan juga pengukur kepada kecekapan kerajaan melaksana inisiatif yang diumumkan.
Sasaran makro yang dinyatakan dalam laporan Pemandu adalah jelas, pada tahun 2020 Malaysia akan menjadi negara maju yang secara umumnya diukur dengan tahap pendapatan kasar nasional perkapita (GNI perkapita) berjumlah AS$15,000 (RM48,000). Pada tahun 2009, GNI perkapita ialah RM23,700. Ini bererti dalam tempoh sepuluh tahun angka ini perlu ditingkatkan sebanyak 2.03 kali ganda (2.23 kali ganda dalam nilai AS$). Mampukah kita mencapainya? Jawab saya, ya! Akan saya jelaskan bagaimana matlamat ini boleh dicapai.
Malaysia mempunyai rekod melaksanakan transformasi ekonomi.
Sebelum kita menilai lebih dalam, saya ingin membawa pembaca meninjau kepada satu perkara yang ramai kita terlepas pandang atau tersalah tafsir dan merasakan transformasi ini adalah petanda kita sudah ketinggalan. Sejauh manakah prestasi kemajuan Malaysia berbanding rakan saingan sebaya kita? Mengapakah kita memerlukan satu proses transformasi ekonomi secara besar-besaran? Adakah ini petanda kita ketinggalan di belakang?
Ujian ringkas - kali pertama saya menjejak kaki ke Amerika Syarikat ialah pada bulan Jun 1982. Antara soalan yang sering perlu dijawab oleh pelajar Malaysia di Amerika Syarikat pada ketika itu ialah - di mana Malaysia? Malaysia tidak dikenali. Nama Malaysia jarang sekali disebut. Masih ramai yang keliru antara Madagascar, Malawi, dan Malaysia. Hampir tiga puluh tahun berlalu, sejak tiba di Harvard pada Julai 2010 yang lalu, soalan ini tidak lagi kedengaran. Malaysia sudah berada di pentas dunia.
Profesor Hausmann, cendekiawan pembangunan ekonomi yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Antarabangsa Harvard, menggunakan Malaysia sebagai negara contoh untuk membincangkan teori Product Space yang dipeloporinya. Menurut beliau, daya saing sebuah negara boleh didasarkan kepada kejayaan beralih dari satu produk kepada produk yang lebih berteknologi dan bernilai tinggi. Malaysia diiktiraf kejayaannya dalam melayari Product Space, mengubah struktur ekonomi dari sebuah negara berpaksikan pertanian kepada negara pembuatan.
Peralihan yang berjaya dilaksanakan oleh Malaysia dari tahun 1980-an ke tahun 2000 adalah begitu jelas. Kita mempunyai satu rekod yang amat penting - Malaysia telah berjaya melaksanakan satu transformasi yang begitu besar.
Penelitian saya ke atas prestasi 10 tahun kalangan 20 negara yang sebaya dengan Malaysia (10 di atas dan 10 di bawah berdasarkan GNI per kapita) setiap kali kita menjengah ke dekad yang baru jelas sekali menunjukkan bahawa prestasi Malaysia adalah antara yang teratas. Begitu memberangsangkan. Sebagai contoh, ketika memasuki tahun 1980-an GNI perkapita Malaysia ialah AS$1,830 (1980). Dalam tempoh sepuluh tahun, pada tahun 1989, pendapatan perkapita meningkat sebanyak 1.23 kali ganda ke AS$2,250. Untuk dekad 1990-an (1990-1999), pendapatan perkapita meningkat sebanyak 1.41 kali ganda. Dari tahun 2000 sehingga 2009, pendapatan perkapita rakyat Malaysia telah meningkat sebanyak 2.13 kali ganda, dari AS$3,450 kepada AS$7,350.
Transformasi ekonomi bukan kerana Malaysia ketinggalan
Mengapa saya bangkitkan rekod kemajuan pembangunan negara untuk tiga dekad yang lalu sejak tahun 1980? Pertama, ini menjadi faktor penting bagi menyokong kemampuan kita untuk mencapai sasaran transformasi ekonomi negara. Kita mempunyai rekod yang cemerlang dalam konteks pembangunan ekonomi. Ini adalah tafsiran ekonomi yang kukuh berdasarkan fakta rasmi. Sasaran transformasi kita untuk meningkatkan pendapatan perkapita sebanyak 2.03 kali ganda pada tahun 2020 bukan unjuran lamunan mimpi. Kita boleh mencapainya kerana kita pernah melaksanakannya.
Kedua, transformasi ekonomi perlu dilaksanakan bukan kerana kita ketinggalan atau gagal melaksanakan pembangunan ekonomi. Sebaliknya transformasi ini merupakan keperluan untuk kita melonjakkan momentum pertumbuhan ekonomi negara. Analisis saya kalangan 20 negara sebaya menunjukkan hanya Korea Selatan mempamerkan prestasi luar biasa. Pada tahun 1980 Korea Selatan adalah negara sebaya dengan Malaysia. GNI perkapitanya adalah AS$1,810, sedikit lebih rendah dari Malaysia. Namun, sepuluh tahun berikutnya, pada tahun 1989, negara ini telah menewaskan semua negara sebayanya. GNI per kapita Korea Selatan telah meningkat sebanyak 2.78 kali ganda dari 1980 ke 1989.
Benar jika dibandingkan dengan kes luar biasa seperti Korea Selatan kita di belakang tetapi ini bukan bererti kita ketinggalan. Perbandingan tidak boleh dibuat berasaskan kes luar biasa. Berdasarkan purata prestasi rakan sebaya, prestasi Malaysia adalah antara yang terbaik. Kita tidak ketinggalan tetapi kita mahukan lonjakkan momentum pertumbuhan ekonomi.
Setiap rakyat Malaysia adalah agen kepada transformasi ekonomi
Gesaan bertubi-tubi Perdana Menteri untuk kita melaksanakan transformasi ekonomi adalah penting untuk kita semua. Momentum pertumbuhan ekonomi hanya boleh dilonjakkan sekiranya kita semua jelas dengan apa yang perlu kita lakukan. Setiap rakyat Malaysia adalah agen kepada kejayaan pelaksanaan program transformasi ekonomi.
Bagi memastikan manfaat transformasi ini bersifat inklusif dan dikecapi semua, setiap komposisi dalam negara, individu, keluarga, komuniti (wilayah-bandar-kampung), kerajaan, firma, industri kecil dan sederhana, akademia, ahli politik dan sebagainya perlu memberi perhatian yang khusus dan jelas ke atas keperluan transformasi ini. Kita tidak boleh bersifat pasif, tunggu-lihat dan mengharapkan kerajaan mengagihkan kekayaan negara. Setidaknya kita mesti mempersoal dan membincangkan - apakah peranan saya dalam menjayakan transformasi ini? Apakah perubahan yang perlu saya lakukan?
Persekitaran ekonomi mempunyai evolusinya yang tersendiri. Polisi ekonomi yang penting dan utama satu ketika dahulu berkemungkinan tidak lagi penting dan utama pada hari ini. Kemahiran yang kita hargai satu masa dahulu mungkin sudah lapuk. Struktur persaingan ekonomi global juga jauh berbeza. Pada tahun 1980-an tidak kedengaran nama Brazil, Rusia, China dan India atau BRIC. Hari ini BRIC muncul sebagai kuasa ekonomi besar yang semakin penting dalam ekosistem ekonomi dunia.
Aliran pelaburan asing (FDI) dan dasar keputusan yang menentukan lokasi pilihan pelaburan juga ketara perbezaannya. Di tahun 1980-an tawaran kita ialah tenaga pekerja yang murah. Malaysia dan beberapa negara di rantau Asia Tenggara adalah syurga bagi pelabur asing yang bertujuan mengurangkan kos pengeluaran. Hari ini, semua ini telah berubah. Begitu juga Malaysia, kita perlu berubah.
Malaysia mesti berubah secara proaktif mendahului rentak evolusi ekonomi global. Usaha mempertahankan polisi silam yang satu masa dahulu penting dan menguntungkan berkemungkinan merugikan. Polisi ekonomi mempunyai hayat kesesuaiannya. Apabila lahir, bayi mula dengan menyusu, kemudian diberi nasi bubur, kemudian nasi biasa, dan ditambah lauk pauk. Begitu juga ekonomi sebuah negara, apabila ekonomi semakin membangun dan maju, sifat ekonominya semakin kompleks. Keupayaan dan keperluannya semakin berbeza.
No comments:
Post a Comment