Kerja Kosong

Sunday, May 1, 2011

MESEJ UNTUK PAS DAN PENGUNDI CINA.

PESANAN PM KEPADA PAS DAN ORANG CINA

Pas perlu keluar pakatan


Najib dan isteri, Rosmah Mansor disambut meriah pada majlis Jamuan Rakyat di Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU -Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemimpin Pas perlu menerima kenyataan bahawa mereka mesti keluar daripada pakatan pembangkang jika benar-benar berjuang untuk kepentingan agama Islam.

Menurut Perdana Menteri, Pas tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakan selama ini dan kerjasama dengan parti pembangkang lain hanya memberi keuntungan kepada DAP."Tak kisahlah sama ada Pas mahu bersendirian atau bergabung dengan UMNO, yang penting mereka tidak boleh bergabung dengan DAP kerana usaha Pas dalam memperjuangkan Islam akan terhalang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyung di sini hari ini.

Dengan merujuk pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, beliau berkata, usaha gigih Pas ketika berkempen hanya memberikan keuntungan yang lebih besar kepada DAP.Menurut Najib, Pas perlu menerima kenyataan tentang ideologi mereka yang jelas bertentangan dengan DAP.''Dari segi pertimbangan, tak ada makna Pas kekal dalam pakatan rakyat. Soal dia nak bergabung atau tidak, itu soal lain.

''Sebab kalau dalam pakatan, mereka tidak boleh berbuat apa-apa tanpa kekangan DAP. Dalam banyak isu, DAP akan tetap membuat keputusan jika mereka beranggapan sesuatu yang tak boleh diterima berdasarkan ideologi mereka," ujarnya.Ditanya kenyataan beliau itu mungkin menjurus semula ke arah kerajaan perpaduan, Najib berkata, ia suatu persoalan yang amat rumit dan tidak boleh dijangkakan.

Terdahulu ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di Kampung Pulau Bahagia di sini, beliau mengajak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berusaha ke arah itu.

Katanya, inilah masanya untuk parti itu berbuat demikian demi agama, bangsa dan negara.''Kenapa buat baik dengan DAP. Adakah DAP boleh memperjuangkan Islam? Saya nak cakap di sini kepada Haji Hadi, cukup-cukuplah bekerjasama dengan DAP. Ini merugikan kita," katanya.Najib berkata, semua pihak sedia maklum BN sentiasa menjanjikan realiti daripada aspek pembangunan untuk dinikmati seluruh rakyat.

Sedangkan parti pembangkang, kata Najib, tiada hasil yang dilakukan untuk membantu serta memanfaatkan rakyat."Janganlah main politik jalanan, PKR lahir di jalanan sedangkan UMNO lahir di istana dan sebab itulah parti kita keramat untuk membela nasib bangsa, agama dan negara," katanya.


Pengundi Cina diminta buat pilihan



KUALA TERENGGANU - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kaum Cina di negara ini perlu membuat pilihan sama ada mahu menyokong MCA pada pilihan raya umum akan datang atau kehilangan wakil dalam kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, masyarakat Cina telah diberi mesej yang jelas mengenai perkara itu oleh MCA yang menyatakan parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan Pusat dan negeri sekiranya gagal meraih sokongan masyarakat berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

Jelasnya, masyarakat itu perlu memilih antara kepentingan suara dalam kerajaan atau menyokong pembangkang."Mereka tidak boleh menyokong pembangkang tetapi dalam masa yang sama mengharapkan penyertaan yang kuat kaum itu di dalam kerajaan. Mereka (pengundi Cina) perlu memilih antara dua, jika mahu menyokong pembangkang maknanya mereka perlu korbankan parti-parti dalam kerajaan.

"Namun, jika mahu suara mereka lebih didengari dalam kerajaan, mereka perlu menyokong parti komponen Barisan Nasional (BN). Mesej itu jelas dan mereka (pengundi Cina) tidak akan dapat apa yang dikehendaki jika mereka tidak memilih," katanya selepas merasmikan Perumahan Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyung di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian MCA semalam yang sebulat suara tiada akan menerima sebarang jawatan dalam Kabinet mahupun negeri jika parti itu gagal di dalam pilihan raya umum akan datang.

Ditanya mengenai kesediaan MCA untuk terus berada dalam BN selepas keputusan itu dibuat, jelas Perdana Menteri, MCA tetap akan bekerjasama dengan BN kerana mereka yakin hanya parti itu dapat mewujudkan keharmonian dalam negara."Kita sudah ada rekod, negara aman di bawah parti ini dan apa pun yang diputuskan oleh MCA, mereka tetap akan berada di dalam BN," jelasnya


P/S harap membuka mata semua pihak.

No comments:

Post a Comment